VIDEO MAJLIS PERSANDINGAN SITI NURHALIZA & DATUK K: PART 2
9.00 MALAM Saya rasa Siti Nurhaliza ditransformasi dengan solekan yang jernih dan putih suci pada malam tadi. Dia tampil sehingga membuat teman saya menghantar mesej ringkas menyatakan bahawa Siti Nurhaliza adalah antara manusia tercantik di dunia. Fuh! Biar benar dia nih. Kalau taksub sangat pun, janganlah duk agung-agungkan sangat! Tapi memang Siti lawalah! Memetik kata seorang lagi teman, kejernihan wajah Siti saat persandingan tadi melambangkan satu kemurniaan kejituan serta keajaiban ciptaan Tuhan.
Bagi saya majlis yang diadakan sebentar tadi melambangkan orang Melayu kita masih mempunyai nilai tradisi Melayu. Adat lama tidak dilupa disamping adat-adat yang selainnya datang menempel.
Ramai tetamu dari semua peringkat darjat hadir menghiasi majlis. Dari sebesar pangkat, dari setinggi darjat, dari raja ke rakyat jelata... semuanya datang dijemput dan seharusnnya mereka meraikan dengan penuh kesyukuran. Syukur melihat sang puteri bangsa ini telah dirasmikan dengan begitu besar sanjungannya.
Kelihatan di kaca TV tadi, Datuk Tan Sri Najib duduk sebaris dengan Sultan Pahang dan keluarga kedua mempelai. Ayah Siti pula kelihatan tenang dengan mengenakan pakaian serba putih.
Putih adalah warna tema yang melambangkan kesucian, warna yang penuh dengan lambang kemurniaan tanpa noda sebuah cinta yang tulus dari hati masing-masing. Diharapnya cinta itu kembang mekar nan subur sehingga ke akhir hayat Siti dan Datuk Khalid.
Hiasan tata rias pentas disusun oleh Osford, pereka taman yang menyuntik elemen-elemen semulajadi sebuah taman. Dengan haruman segar yang semerbak bau dapat memberi ketenangan dan kesyahduan. Sultan Terengganu, Tengku Mizan juga kelihatan di kaca TV. Sultan Kelantan tak nampak... mungkin tak hadir. 9.06 MALAM Bacaan selawat di yang dialunkan oleh kumpulan nasyid menandakan majlis bermula dengan pengantin naik ke pentas. Ketika itu saya ada nampak Ella dan Jojie di kaca TV.
9. 10 MALAM Selepas selawat, ada serangkai doa yang dibaca oleh Sohibul Ustaz Ismail Nor, Imam Masjid Negara. Memohon keberkatan Ilahi untuk majlis ini berjalan dengan selamat dan lancar sekali. Doa ditadah sebagai tanda restu Yang Maha Esa agar dicurahkan kasih sayang pengantin dan semua yang hadir.
Saya tertarik dengan bunyi sebaris doa; seumpama tanah apabila terkena air dan jadikan keturunan keduanya adalah yang baik sehingga hari kiamat dan dijauhi segala macam musibah.
Pengacara TV3 pada malam tadi, Ahmad Fedtri Yahya banyak bermain bahasa dengan pantun-pantun yang indah. Saya suka sekali mendengar pantun yang dikarang oleh Fedtri Yahya. Kelancaran dan kepetahan Fedtri dalam mengacara rancangan sedikit sebanyak memberi sumber inspirasi kepada saya.
Sebenarnya ramai artis yang dijemput tapi tidak kelihatan di kaca TV. Antaranya artis veteran Anita Sarawak.
9.20 MALAM Istiadat merenjis dan menepung tawar adalah antara adat terpenting. Upacara merenjis adalah acara wajib bagi majlis persandingan Melayu. Dimulakan dengan Sultan Pahang, Sultan Terengganu, pembesar-pembesar, kaum kerabat, keluarga dan rakan terdekat. Saat ibu dan bapa Siti Nurhaliza naik ke pentas untuk merenjis dan menepung tawar, hati kecil saya sekali lagi sebak. Pelukan dan ciuman kasih sayang diberikan untuk kedua-duanya tanda perhubungan mereka telah pun direstui.
Acara Santapan
9.35 MALAM Acara santapan bermula jam 9.35 malam. Kedua mempelai menuruni pentas dan menuju ke meja santapan yang agak panjang. Bersantap sebagai raja sehari adalah satu sessi yang menyeronokkan kerana sambil menjamu selera, pelbagai irama lagu dan persembahan tarian akan dihidangkan sebagai halwa telinga.
Saya minat dan suka sekali kalau menonton kanak-kanak cilik menari. Saya tak tahu kenapa, tapi itu naluri saya suka dengan kanak-kanak yang sungguh lincah menari irama tradisional. Lagu Kurik Kundi yang mengumpulkan sekumpulan kanak-kanak yang mempamerkan tarian yang cukup enak dipandang mata. Pendek kata, saya sukalah tengok. kalau boleh nak tengok lagi. Rugi saya tak rakam.
Pengacara malam tadi sempat menyentuh pasal menu hidangan istimewa untuk tetamu. Macam-macam nama ada. Yang pasti nama menu masakan itu ada kena mengena dengan lagu Siti Nurhaliza. Antara yang sempat saya tangkap ialah ikan kerapu udang galah masak sos kunyit Gelora Asmara, acar buah Intrique Cinta? Kek Rozalnet Beradu di Khayalan?
9.40 MALAM Kalau tak silap saya persembahan pertama dirasmikan oleh penyanyi berkening tinggi yang juga anak kepada anggota polis macam Siti... nama pun lebih kurang sama sebab bermula dengan Siti... tapi yang ni Siti Roziana... atau kita panggil dia Ziana Zain.
Dengan penuh perasaan Ziana turut menghiburkan hadirin dengan lagu Syurga Di hati Kita. Ziana tampak anggun dan slimlah dengan baju serba putih. Saya percaya rangkaian lagu-lagu bertemakan cinta pada malam ini banyak memberi makna kepada raja sehari itu.
Sementara itu, TV3 tidak sunyi dari mengambil peluang untuk menemubual para artis. Antaranya pasangan sensasi yang katanya pernah bercinta? Faradhiya dan Hattan. Datuk M Daud Kilau juga turut menyanyikan lagu yang diciptakan khas untuk Siti Nurhaliza bertajuk... apatah saya tak ingat... tapi lebih kurang irama dia macam lagu cek mek molek.
Tidak dilupakan Kumpulan suara latar yang selalu mengiringi Siti iaitu SWARA turut mendendangkan lagu KEMBANG MALAM secara berkumpulan. Diselangi gambar gambar kenangan mereka bersama dengan Siti Nurhaliza.
9.55 MALAM Kris Dayanti, teman seperjuangan Siti Nurhaliza dari Indonesia terbang ke Malaysia untuk mendendangkan lagu klasiknya, Mencintaimu. Pastinya ada makna dan maksud tersirat di sebalik lagu ini. Datuk Khalid juga kelihatan tersenyum nakal sambil menjeling ke arah Siti Nurhaliza. Pasangan yang bahagia katakan. Mereka turut menyanyi bersama-sama. Kris dayanti dikatakan tempat Siti mengadu masalahnya. Ucapan Kris, semoga menjadi mereka berdua menjadi kekasih terbaik dan tercantik di mata Allah.
10.10 MALAM Tarian dari kanak-kanak yang saya suka. Budak-budak ni sebenarnya adalah penari dari Pak Ngah Production. Tarian zapin dalam lagu Cindai ini mengimbau kenangan ketika Siti menyertai Juara Lagu.
10.20 MALAM Kat Protege dalam mentor musim kedua menyusul dengan mendendangkan lagu dari album terbaru Siti, PASTIKAN. Kat kelihatan seakan terseksa. Jelas nampak dia cuba untuk buat yang terbaik kerana Siti kan Mentornya.
10.20 MALAM Nash menyanyikan lagu permintaan Datuk Khalid iaitu lagu Permata Buat Kau Isteriku dan Pada Syurga Di Wajahmu.
10.30 MALAM Eizlyn menyanyikan lagu Bukan Cinta Biasa. Mungkinkah ini yang dinamakan cinta luar biasa? Duda berpangkat datok kawin dengan gadis puteri bangsa?
10.40 MALAM Rangkaian medley 2 buah lagu Menyemai Cinta Bersamamu dan Hanyalah Satu dari Nora sungguh mengasyikkan sekali. Lagu ini sesuai untuk bergema di dewan seperti apatah lagi dengan kelantangan suara Nora yang power tu.
10.45 MALAM Too Phat dengan Malique menyanyikan The Most Beautiful Girl. Tak berapa sesuai untuk majlis.
10.50 MALAM Ning Baizura menyanyikan lagu Percayalah dengan suara sopranonya. Sedaaaappp dan penuh emosi.
Persembahan Hetty Koes Endang
Artis dari seberang, Hetty Koes Endang secara spontan tanpa latihan menyanyikan lagu When You Tell that You Love Me. Kata Tante Hetty, dia terbang jauh semata-mata ingin bertemu mesra dengan pengantin. Lucu jugak dia ni ya... tapi memang profesional lah! Respek cek kat dia. Lagu yang ini dikatakan adalah kegemaran Siti.
Ucapan dari pada kekanda Datuk Khalid Zaiton Mohd Jiwa. Banyak pantun dan gurindam tersemat indah di dalam ucapan beliau.
Tayangan Visual atau slide show perjalanan seni Siti Nurhaliza bersama TV3 bermula. Dari sejarah Juara Lagu hinggalah penampilan Siti di dalam program-program yang dianjurkan oleh TV3... Pendek kata, di mana ada TV3, di situ ada Siti Nurhaliza.
ACARA MEMOTONG KEK
11.16 MALAM Acara memotong kek dan disusuli dengan acara memotong dan menyuap pulut kuning untuk ibu bapa Siti Nurhaliza sempena Anniversary perkahwinan mereka. Itu dah kira satu kejutan buat mereka. So sweetlah tengok diorang nih! Romantik!
11.34 MALAM Ucapan Siti Nurhaliza dan disusuli dengan nyanyian sebuah lagu yang dicipta dan digubah sendiri oleh Siti Nurhaliza berjudul Cahaya Cinta. Antara lirik yang sempat saya rakam:
Dia telah menentukannya kita bertemu dan bercinta inilah oh takdirNya bukanlah kerana harta ini ceritera cahaya cinta
Pintu hatiku telah kau buka tak mampu ku hindarkannya kejujuran diberi ini bahagia yang ku cari
korus: sayangi daku peluklah daku janji denganku semai cinta nan satu
Tuhan menguji takkan berhenti hanya ku pinta sama setia menjaga hingga ke alam syurga
Memang sedap dan penuh makna tersirat. Suara Siti memang sedap! Katanya, lagu ini digubah sehari sebelum majlis pernikahan mereka pada 21 Ogos lalu.
Oklah, dah lewat malam. Masa untuk saya beradu untuk seketika. Bertemu lagi di lain siaran. Pastinya saya akan meletakkan video dan juga melampirkan foto-foto menarik sepanjang majlis berlangsung.
Selamat tidur ya Siti Nurhaliza dan Datuk K. Semoga tidur kalian nyenyak dan enak... ahak!
JAM 9.00 MALAM Tepat jam 9 malam, sesudah Buletin Utama, saya rasa ramai yang bersama-sama saya untuk mengikuti satu lagi detik bersejarah dalam hidup seorang penyanyi nombor satu negara.
Majlis persandingan kini bersua muka menjadi saksi segala rakyat senusantara kerana siaran langsung ini bersiaran sehingga ke Indonesia, Brunei dan Singapura. Inilah julung kalinya kita menyaksikan perkahwinan rakyat biasa diraikan dengan begitu mega dan grand!
Dan puteri bangsa seperti Siti Nurhaliza layak untuk menerima layanan mewah sebegini rupa. Saya hampir terlopong juga melihat keindahan dewan besar itu. Dengan kehadiran ramai Sultan, Raja dan pembesar negara, menjadikan segalanya lengkap dan sempurna.
Saya tidak kisah dengan saluran 4 astroria dan TV1 yang mengundang Mawi dan Ina. Namun, saya sempat bermain punat-punat alat kawalan jauh ketika rehat sahaja. Sempat melihat Ina sedang menangis kerana ditinggalkan Mawi.
Oklah, tinggalkan seketika pasal Mawi dan Ina. Beralih kita ke Pusat Konvensyen KLCC. Kedua mempelai kelihatan begitu tenang berjalan perlahan ke pelamin Mahligai Asmara.
Saya dapat melihat bahawa sinar kebahagiaan yang terpancar di wajah kedua mempelai. Berseri-seri raut wajah mereka. Menyerlahkan lagi konsep tradisional pelamin di dalam taman. Penuh dengan paku pakis, keladi, seolah-olah sebuah taman syurga.