Oleh: Wahida Asrani Penulis jarang sekali terpesona dengan filem berunsurkan cinta dan romantik bukan saja tempatan, tetapi juga filem antarabangsa. Jalan cerita yang meleret dan adakalanya lembab menjadi faktor utama mengapa penulis kurang gemar menonton filem-filem seperti ini.
Tetapi kesempatan menonton Cinta baru-baru ini yang membariskan pelakon-pelakon hebat seperti Datuk Rahim Razali, Fatimah Abu Bakar selain Nanu Baharudin, Rashidi Ishak, Rita Rudaini, Pierre Andre, Que Haidar dan Sharifah Amani ternyata berjaya mengubah persepsi penulis terhadap filem seperti ini.
Filem Cinta arahan Kabir Bhatia ini memaparkan rangkaian lima kisah cinta yang berkisar di kota metropolis. Pelbagai kisah dan konflik cinta berjaya digarap dengan baik oleh penulis skripnya, Mira Mustapha.
Gandingan hebat Datuk Rahim Razali sebagai Cikgu Elyas dan Fatimah Abu Bakar sebagai Rubiah berjaya menghidupkan 'Cinta'Pengorbanan di dalam cinta, perasaan ditinggalkan oleh orang tersayang, cinta yang lahir secara semulajadi dan kasih yang mendalam diantara adik-beradik berjaya dipaparkan dengan baik di dalam filem ini.
Penulis amat tertarik dengan skrip, jalan cerita, sinematografi dan muziknya yang berjaya menyentuh hati penonton yang menyaksikan filem ini. Ditambah pula dengan lakonan yang memberangsangkan oleh para pelakonnya membuatkan filem Cinta bukanlah 'cinta biasa'.
Tidak salah jika dikatakan lima kisah cinta yang dipaparkan mungkin juga ada berkaitan dengan kisah percintaan yang dialami oleh penonton.
Itulah yang membuatkan Cinta berbeza dengan filem cinta yang lain kerana mesej yang disampaikan amat jelas dan memang berlaku di dalam kehidupan harian kita.
Penulis tertarik terhadap kisah di antara bekas guru, Elyas (lakonan Datuk Rahim Razali) yang menghidapi penyakit hilang ingatan tetapi sanggup dibantu secara ikhlas oleh Rubiah (Fatimah Abu Bakar), seorang janda dan pengusaha kedai makan yang tidak kisah menjadi teman hidupnya.
Konflik kasih sayang diantara kakak dan adik yang dilakonkan oleh Nanu dan Que Haidar turut menyentuh perasaan
Melihat kepada kesungguhan dan kejujuran Rubiah mendekati Elyas membuktikan kepada penonton bahawa cinta sememangnya tidak mengenal usia.
Masih terngiang-ngiang lagi dialog yang menyentuh perasaan oleh Elyas yang menyebut "isteri bukanlah hak milik, tetapi adalah anugerah..." kepada Rubiah apabila dia mendapat tahu Rubiah ditinggalkan suaminya.
Sebuah lagi kisah menarik ialah diantara Dyan (Nanu Baharuddin) dan adiknya, Dhani (Que Haidar). Dyan kecewa dengan keputusan adiknya Dhani (Que Iskandar) menjadi seorang pelukis jalanan tetapi pada masa yang sama Dhani turut kecewa dengan kakaknya yang mempunyai hubungan intim dengan suami orang.
Ego kedua-dua beradik ini berakhir dengan babak yang cukup menyayat hati apabila Dyan sanggup mendermakan buah pinggang untuk adiknya yang menderita penyakit kanser sehingga akhirnya mengorbankan nyawa Dyan sendiri.
Walaupun hanya dua kisah ini yang benar-benar menyentuh hati penulis, tetapi tidak dinafikan kisah-kisah lain yang turut dipaparkan mempunyai mesejnya yang tersendiri. Terpulang kepada penonton yang menyaksikannya kerana seperti yang dikatakan tadi, setiap kisah yang wujud di dalam Cinta, mungkin ada kena-mengena dengan penonton sendiri.
Amani dan Pierre adalah antara tunggak utama filem iniKisah Ariana (Sharifah Amani) yang datang ke Kuala Lumpur untuk mencari kekasihnya yang curang dan kemudiannya menemui Taufik (Pierre Andre) seorang wartawan yang sanggup membantu Ariana menjejaki kekasihnya itu juga mempunyai jalan cerita yang menarik.
Begitu juga seorang ahli perniagaan syarikat penerbitan majalah yang berjaya Azlan (Eizlan Yusuf) yang jatuh hati dengan jurujual di sebuah kedai buku, Azura (Fasha Sandha). Percintaan yang melibatkan perbezaan status dan kedudukan ini juga tidak kurang hebatnya.
Memang agak sedikit lucu apabila menyaksikan babak first date Azlan yang membawa Azura makan malam di sebuah taman sambil dihiburkan oleh dendangan lagu daripada sekumpulan ahli muzik.
Eizlan dan Fasha membawakan kisah cinta pasangan yang berbeza kedudukanBegitu juga dengan lamaran yang dibuat oleh Azlan di dalam keretapi di hadapan penumpang-penumpang lain. Tetapi, rasanya perwatakan Azlan yang romantis membuatkan babak-babak tersebut masih boleh diterima!
Tahniah juga buat Rashidi Ishak dan Rita Rudaini yang membawakan konflik rumahtangga di antara watak Harris (Rashidi Ishak) dan Airin (Rita Rudaini) dengan baik.
Airin, seorang isteri yang amat menyayangi suaminya tetapi pada masa yang sama dia berjumpa lelaki lain yang lebih dicintainya mungkin memberi kesan mendalam kepada sesetengah penonton. Cukup jelas mesej yang ingin disampaikan, di mana perasaan cinta dan sayang mempunyai maksud yang berbeza.
Perasaan cinta dan sayang tidak sama. Itulah yang cuba dijelaskan melalui watak suami isteri lakonan Rashidi Ishak dan Rita Rudaini

Selain kisah cinta dan kata-kata indah yang diselitkan sepanjang filem ini, apa yang menambat hati penulis juga ialah pada lagu-lagu runutnya.
Setiap adegan yang menyentuh hati diiringi pula dengan lagu-lagu yang mempersonakan seperti Perpisahan dendangan Anuar Zain dan Cinta, duet Misha Omar dan Jaclyn Victor membuatkan filem ini lengkap rencahnya.
ARTIKEL BERKAITAN:-
- Tahniah Filem Cinta! Anda Kini Sudah Bergelar Jutawan!
- All About The Red Kebaya
- Wayang Di: Apa Yang Menarik Ditonton?
- The Red Kebaya: Jom Berkenalan Dengan Para Pelakonnya!
- Tontoni The Red Kebaya Mulai Esok!
- The Red Kebaya: The Story Behind
- Sekitar Sidang Media The Red Kebaya
- Antara Dua Filem Hebat, Mana Satu Pilihan Malaysia?
- Ulasan Filem Cinta: Penuh Erti Kasih, Padat Panorama Bermesej
- The Red Kebaya Countdown: Gadis Kebaya Pikat Mat Salleh
- Dunia Bolly: Kajol Kembali Beraksi Di Layar Filem
- Countdown: Jemputan Ke Pra Tonton Filem The Red Kebaya
- Jemputan Ke Pra Tonton Filem Cinta
- Sekitar Majlis Berbuka Puasa & Sneak Peek The Red Kebaya
- Filem Red Kebaya: Jemputan Berbuka Puasa & Sneak Peek