
Pi Mai Pi Mai Tang Tu adalah sebuah muzikal yang diangkat dari sitkom TV yang cukup popular suatu ketika dulu memaparkan kehidupan masyarakat Malaysia melalui sentuhan dan sindiran, tamparan dan templakan yang terselit di dalamnya nilai-nilai yang harus dipertahankan.
Skrip muzikal ini ditulis oleh Hatta Azad Khan manakala Othman Hafsham bertindak sebagai pengarah. Seperkara yang menarik mengenai muzikal ini, ia dibintangi pelakon-pelakon asal sitkom tv tersebut, antaranya Zami Ismail, Khatijah Tan, Sabri Yunus, Imuda, Ahmad Busu, Sathia dan Angeline Tan serta beberapa lagi muka baru.
SENARAI PELAKON DAN WATAK- Zami Ismail - Pak Uda
- Khatijah Tan - Mak Ngah
- Zainal Ariffin Abd. Hamid (Zaibo) - Pak Bo
- Sabri Yunus - Wan Semail
- Sathivel a/l Periasamy (Sathia) - Ravi
- A. Rahim Muda (Imuda) - Budin
- Sulaiman Yassin (Mat Over) - Mat Over
- Nasrizal Ngasri (Bell) - Sukarman
- Mohd. Ashraf Navaghani (Ash) - Daljit
- Angeline Tan - Lucy
- Liyana Farah Suradi (Farah) - Kornia
- Darling Magdalina - Anne
- Arbaiah Ahmad Nadzri (Abby Nadzri) - Siti
- Ahmad Busu - Mat Deris
- Maria Yasmin (Jasmine) - Juliet
- Osman Kering - Wak Patah Kaki
- Norasyikin Hassan - Kak Wok
- Sh. Nabila Syed Abd. Aziz - Putri
- Shamsuraya Sulaiman - Kak Rose
- Kogela a/p Narayanasamy (N. Sheila) - Letchemi
- Wong Meow Yin (Vicky Meow) - Ah Ngo
- Othman Hafsham - Pengarah
SENARAI TENAGA PRODUKSI DAN KREATIF- Dr. Hatta Azad Khan - Penulis Skrip
- Othman Hafsham - Pengarah
- Mior Hashim Manap - Penolong Pengarah
- Hamzah Tahir - Koreografer
- Hafiz Askiak - Pengarah Muzik
- Nur Afifi Mohd. Taib - Pereka Kostum
- Zulkifli Ab. Rashid (Zulrashid) - Pereka Tata Cahaya
SINOPSIS MUZIKAL
Juliet dibesarkan dengan menonton siri sitkom tv “Pi Mai Pi Mai Tang Tu”. Bapanya merakam kesemua episod dan mereka mengulang tontonnya bersama. Bila dewasa, Juliet masuk belajar muzik di Universiti Malaya. Kawan-kawan membawanya melawat ke sebuah perkampungan setinggan yang konon ceritanya menjadi titik mula kepada penghasilan siri sitkom tv itu.
Setelah tamat belajar, Juliet mahu menyelidik dan mengenali masyarakat Kampung Seri Wangi yang kini berpindah ke Flat Seri Wangi dengan lebih dekat. Niatnya mahu mempersembahkan lima orang pelajar menyusup masuk ke Flat Seri Wangi, tinggal dan bekerja dengan penduduk di situ.
Siti menolong Mak Ngah di warung. Annie dan Korina pula membantu di Salun Lucy, Sukarman dan Daljit menumpang tinggal dengan Mat Deris dan Budin, sementara Juliet sendiri masuk belajar memandu di Sekolah Memandu Ravi.
Kedatangan mereka ke Flat Seri Wangi menimbulkan syak di hati Wan Semail yang memang pernah bekerja sebagai penyiasat persendirian. Wan Semail menduga semua budak-budak yang menolong itu mahu mencari sesuatu.
Ravi hanyut dengan kejelitaan dan kemanjaan Juliet. Apa saja yang ditanya oleh Juliet mengenai penempatan dan penduduk Flat Seri Wangi diceritakannya.
Seperkara yang menarik berlaku ialah penduduk Flat Seri Wangi diceriakan dengan kehadiran kumpulan remaja tersebut. Mereka tidak segan silu menari dan menyanyi. Wan Semail bertambah akan syak wasangkanya.
Juliet akhirnya bercerita tentang niat sebenarnya mahu mementaskan muzikal Seri Wangi bersama watak-watak sebenar. Mendengar itu, Budin, Mat Deris, Mat Over, Lucy, Mak Ngah dan Pak Uda mula menunjuk-nunjukkan bakat dan kebolehan mereka dengan harapan untuk dipilih menyertai muzikal terbitan Juliet dan bapanya. Cuma Wan Semail saja yang masih ragu-ragu.
Juliet memuji bakat semulajadi penduduk Flat Seri Wangi. Katanya mereka jauh lebih baik berbanding barisan pelakon profesional yang memegang watak Pak Uda, Mak Ngah, Budin dan lain-lain lagi.
Wan Semail mula berfikir bahawa pelakon dalam siri tv itu sebenarnya meniru watak-watak sebenar penduduk kampung dan Flat Seri Wangi. Dia akhirnya akur dengan niat Juliet dan menganggap itu suatu cabaran yang perlu disahut oleh semua penduduk Flat Seri Wangi. Dia pula yang memberikan semangat. Katanya mereka semua jauh lebih baik daripada barisan profesional yang melakonkan watak-watak mereka di televisyen.
Kata Wan Semail, pelakon-pelakon itu meniru dan menipu penonton dengan melakonkan watak-watak mereka dan siri tv itu diberhentikan kerana dikatakan menyalahi undang-undang yang menyatakan watak-watak di dalamnya hanyalah rekaan dan tiada kena-mengena dengan watak-watak yang masih hidup ataupun yang sudah mati. Pak Uda bersetuju kerana baginya mereka semua masih hidup lagi.
Akhirnya, kesemua mereka bersemangat mahu berlakon dan menunjukkan bahawa bakat mereka jauh lebih baik daripada Imuda, Zami Ismail, Khatijah Tan, Ahmad Busu, Sabri Yunus dan lain-lain. Mereka berazam memainkan watak-watak sendiri dengan lebih baik daripada pelakon profesional.
ARTIKEL BERKAITAN:-
- Teater Muzikal Pi Mai Pi Mai Tang Tu
- Cerita Lain Pasal Teater Muzikal Pi Mai Pi Mai Tang Tu
- Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang
- Teater Wangi Jadi Saksi