
Tayangan premiere Cinta @ GSC Mid Valley pada 10 NovemberINTRO: PERASAAN BERBAURSelesai sahaja menonton filem CINTA, hati saya dijerut dengan perasaan yang berbaur-baur. Macam-macam perasaan saya dapat rasa. Gembira, marah, kasihan, simpati, empati, kagum, sedih, pahit, kelat, masam, pilu, syahdu, terharu, sebak, terhibur, syiok, dan macam-macam lagi. Secara ringkas, dalam 5 kisah cinta digarap dengan begitu indah dan kreatif dengan arahan Kabir Bhatia sudah cukup untuk mengajar saya mata pelajaran CINTA.
Keluar dari hall 10, GSC Mid Valley malam itu, hati saya terusik dengan falsafah-falsafah cinta yang dihidangkan. Terdetik halus dalam jiwa saya..."Wah! Hebatnya aura cinta dalam filem ini." Aura yang saya maksudkan bukan seperti aura Mawi yang akhirnya dituduh menipu peminat. Bukan juga seperti aura Siti yang akhirnya berkahwin dengan duda yang dah tua. Aura yang saya rasa ialah aura manusia-manusia kreatif di belakang tabir filem ini.
Menghadiri tayangan premiere filem CINTA bersama blogger dan penuntut kolej malam itu, banyak meninggalkan kenangan manis. Mungkin bertemu dengan teman-teman blogger yang sudah lama tidak nampak batang hidung. Mungkin dengan kehadiran Pierre Andre yang sudi meluangkan masa menjawab soalan daripada audien di penghujung acara. Ini kali pertama saya melihat Piere Andre (anak kepada Khatijah Tan) di dunia nyata. Pernah menontonnya dalam SALON yang kurang menyerlah plot dan keuntungan.
Blogger yang hadir,
Nurol (adik Muid),
Faisal Mustaffa,
sultanmuzaffar,
Muid Latif ,
Zulhabri,
Suanie,
Fireangel dan
Fadz (Tonton Filem) serta ramai lagi yang saya tidak kenal. Pengikut-pengikut KODOK; Afdlin Shauki juga turut memenuhi kerusi pawagam.
APA YANG MENARIK?Skrip yang mantap, plot yang lari dari norma kebiasaan filem kita yang clishe. Sinematografi dan panorama yang cantik. Mereka membuat saya kagum dengan apa yang mereka hasilkan. Sekali menonton, membuat saya menghargai cinta. Juga memahami erti kasih sayang.
Selagi ada hayat, saya ingin merasai cinta. Rupanya mencari cinta itu bukan senang kalau hati sudah tertutup. Dengan dunia yang penuh komplikated, manusia boleh hanyut kerana cinta. Dengan kerenah manusia yang pelbagai corak, kita boleh sesat dengan istilah cinta yang sebenar.
Persoalan, mengapa kita perlukan cinta? Untuk apa cinta itu? Mengapa cinta sentiasa menagih airmata derita? Mengapa cinta itu buta? Mengapa perlu berkorban demi menggamit cinta? Mengapa dan mengapa? Banyak lagi sebenarnya persoalan tentang cinta.
Saya boleh katakan, filem ini sebuah cerita yang bersahaja. Rileks dan santai. Padat dengan mesej yang senang untuk kita telaah dengan minda yang rileks. Ya, senang untuk menonton cerita ini seandainya anda pernah merasai putus cinta, ditinggalkan kekasih dan kematian. Apatah lagi kepada anda yang pernah melalui perpisahan yang menyakitkan sepanjang meniti hidup.
Plotnya ringkas. Tapi hati-hati. Kepada anda yang selalu keluar ke tandas, tahanlah seketika kerana kemungkinan anda akan terlepas scene yang penting. Dalam filem ini, setiap saat amat bernilai. Setiap detik mempunyai kisah dan jalinan antara cerita. Tertinggal seminit, bermakna anda kehilangan arah cerita.
Penyuntingan yang bagus boleh membantu anda. Betul kata Muid, filem ini mempunyai suntingan yang mesra pengguna. Tidak mendera penonton dengan adegan yang tidak perlu. Yang indah dipertontonkan dengan seindah-indahnya. Yang jujur, ditayangkan dengan sejujurnya. Mesejnya jujur dan telus untuk menusuk ke dalam jiwa penonton.
Kadang-kadang, saya merasakan dengan 5 kisah boleh buat saya akan keliru. Namun, dengan pembikinan yang teliti dan perbincangan awal katanya dapat merangsang minda penonton. Nampak terlalu berbelit-belit tapi sebenarnya tidak. Cuma anda perlu berhati-hati. Tidak semua kisah adalah kisah biasa yang anda pernah dengar.
Ada juga kisah biasa yang ditokok tambah dan melanggar surelisme kehidupan untuk menambah perencah filem ini. Kalau tiada unsur tokok tambah sedap pula. Kalau takde adegan-adegan over (merujuk kepada adegan Azlan dating candle light dinner dengan Azura) pun tak syiok juga. Jadi, perlu seimbang antara surelisme & factual.
NILAI CINTAAduh! Betapa mahalnya harga cinta. Betapa tingginya nilai cinta. Gambaran filem ini jelas dan jitu. Kerana cinta, manusia rela korbankan apa sahaja. Cinta bukan seperti alat permainan. Cinta juga bukan seperti baju atau lampin yang boleh dipakai buang. Yang penting, persoalan cinta dan kasih sayang dihidangkan dengan selera yang berlainan sekali.
Menonton filem CINTA seperti menghadiri kursus 'Kuliah Cinta". Ingin mengenali cinta yang sebenar? Anda ingin menerokai cinta sejati. Anda ingin menelusuri pengertian cinta yang tidak pernah anda temui selama ini? Maka, saya ingin mengajak anda, tontoni filem ini. Dengan durasi 1 jam 45 minit itu, saya rasa sudah cukup untuk merasai mesej yang ingin disampaikan.
Ini benar. Menonton sekali saya rasa tidak cukup lagi. Banyak perkara yang saya rasa tertinggal.
PERASAAN SAYA
Berbalik pada perasaan saya ketika menonton filem terbitan Alternate Studio ini... ianya masih kekal sampai sekarang ini. Rasa gembira melihat Azlan bertemu dengan Azura. Namun bertukar rasa marah apabila Azlan tidak mengaku Azura itu kekasih hatinya di hadapan wartawan. Rasa gembira melihat cinta Azlan yang terbenih hanya dengan sekilas pandangan di kedai buku bertukar menjadi rasa geram dengan cinta orang koprat yang sentiasa hipokrit.
Dalam plot antara Azlan (lakonan Eizlan Yusof) dan Azura (lakonan Fasha Sandha), saya diajar bahawa cinta itu tidak mengenal siapa. Usia atau darjat. (Merujuk kepada cerita cinta Siti dan Datuk K).
Kalau mahu dibincangkan satu persatu falsafah cinta yang diutarakan dalam filem ini, sampai esok pun tak habis. Persoalan cinta itu sendiri terlalu luas. Cinta merangkumi segala ruang kehidupan. Cinta seperti nasi yang perlu dimakan setiap hari. Cinta itu satu keperluan. Bukan satu kehendak. Itu pada saya. Semua orang berhak untuk merasai cinta dan dicintai.
Dalam filem ini terlalu banyak ungkapan-ungkapan yang selalu kita temui dalam kitab-kitab kehidupan. Ungkapan seperti..."Kalau nak seribu daya, tak nak seribu dalih, Kalau inginkan sesuatu, mesti ada caranya, dan banyak lagilah falsafah yang terkandung dalam skrip filem ini. Saya tak sempat hafal...saya juga tak sempat nak ingat. Nak catit pun lupa bawa kertas dan pen. Mungkin ini alasan untuk saya menontonnya buat kali kedua.. hehehe.
SINEMATOGRAFI YANG SUPERB!Kalau penonton mahu melihat sinematografi indah, tontonlah filem CINTA. Kalau penonton ingin melihat lakonan Fatimah Abu Bakar yang begitu bersahaja dengan pelat loghat Utara, tontonlah filem CINTA. Kalau anda mahu melihat dramatis-dramatis yang sebelum ini menghiasi senetron dan cerekarama di layar perak, maka tontonlah filem Cinta.
Di minit pertama, penonton dipertontonkan dengan gambar-gambar kehidupan manusia. Objek utama dalam filem ini adalah kehidupan manusia yang memerlukan cinta. Gambaran ini seumpama iklan pendek pada saya. Ianya seperti appetizer... atau pembuka selera... mmm... macam orang Kelantan makan nasi nak kena cicah budu dulu...baru ada selera...
Di samping gambar cantik, ada lagu-lagu runut filem ini yang sedap-sedap. Namun saya terkilan ada lagu yang ditampilkan dengan adegan yang tidak tepat. Sampai terganggu tontonan saya. Tapi ada lagu-lagu yang memang benar-benar buat filem ini bertambah sedap untuk ditonton. Macam lagu Anuar Zain...
Yang saya nak point di sini ialah... saya mudah tersentuh dengan objek-objek cinta yang digabungkan dengan paparan sinematografi yang indah. Ya! Filem CINTA ini mempunyai sinematografi yang sangat indah. Kalau skripnya indah dicampur dengan sinamtografi yang superb... apa jadi? Skrip menyentuh perasaan + sinematografi superb = Fuh! Hebat! Filem yang perlu ditonton!
5 KISAH CINTASecara kasarnya filem CINTA didatangkan dengan pakej yang bagus. Saya rasa ini formula yang baik untuk menarik penonton ke pawagam. Sekiranya gagal, ternyata penonton buta dan pekak untuk melihat dan mendengar. Memang betul, filem ini menjanjikan satu kelainan. Rugi tak tengok.

Pelakon yang bergerak dalamnya ada nafas dan tenaga. Cinta Arianna (Syarifah Amani) dan Taufiq (Pierre Andre) seperti diceduk dari kisah-kisah yang terpapar di akhbar-akhbar. Normal tapi banyak pengajaran. Jangan mudah terpedaya dengan pujuk rayu. Jangan mengadai body semata untuk cinta yang tak tentu sejati.
Gadis naif seperti Arianna masih ada dalam masyarakat kita sebenarnya. Gadis yang menyerah tubuh demi membuktikan betapa cintanya pada kekasih. Lalu terkapai-kapai mencari kekasih yang membuang cintanya. Bertemu dengan wartawan yang lurus bendul, Taufiq membuatkan pegangan Arianna sedikit goyah dalam misinya mencari cinta sejati.

Kisah 'Sepenuh Jiwa' yang dibintangi oleh Rita Rudaini dan Rashidi Ishak amat berkesan pada saya. Punya harta kekayaan segala, bukan menjanjikan kebahagian pada seorang arkitek seperti Haris (lakonan Rashidi Ishak). Setelah merasai dunianya hanyalah satu ilusi yang penuh kepuraan, Haris menempuh satu musibah yang melanda dirinya. Musibah yang merobek hati anak yang tidak berdosa. Menjadi mangsa pada satu perpisahan kasih ibu dan bapa. Apakah musibah itu dan bagaimana perpisahan itu boleh berlaku, anda perlu tontoninya sendiri.

Perkataan cinta bukan hanya merujuk kepada kekasih kepada kekasih. Ianya melangkaui skop yang luas. Seperti dalam kisah Dyan (Nanu Baharudin) dan Dhani (Que Haidar). Tertumpu pada kasih sayang antara adik beradik. Sebagai kakak yang ingin melihat adiknya berjaya, Dyan terpaksa menghadapi cabaran untuk mengheret adiknya kembali.
Lakonan Que Haidar saya rasa bagus untuk watak pelukis jalanan yang mempunyai pendirian tersendiri. Seperti watak Haris, watak Dyan juga agak berat bagi saya. Ternyata Rashidi Ishak dan Nanu telah berjaya mencapai mutu lakonan yang bagus.

Antara cerita yang paling saya suka, yang saya tunggu-tunggu... ialah cerita Cikgu Elyas (lakonan Dato' Rahim Razali) dan Rubiah (Fatimah Abu Bakar). Kedua-duanya pelakon yang saya rindukan. Sekali sekala berlakon, rupanya Fatimah Abu Bakar masih menyengat. Lakonannya nampak biasa dan natural. Watak ibu yang beransur tua itu ssebenarnya agak melankolik bagi saya.
Rahim Razali pula memegang watak duda yang mengalami penyakit Alzheimer (lupa dan nyanyuk). Keduanya bertembung secara tidak sengaja di restoran Laksa yang baru dibuka oleh Rubiah. Restoran itu menggantikan kedai membaiki jam yang disinggahi setiap hari oleh Cikgu Elyas.
Setiap hari yang dilalui oleh Cikgu Elyas adalah hari yang sama kerana hilang ingatan. Persis watak seorang gadis dalam filem
50 First Dates (2004). Namun, persoalannya lain. Apakah orang yang ada penyakit lupa boleh merasai getaran cinta? Adakah Cikgu Elyas menerima cinta sepenuh jiwa yang digendung oleh Rubiah?
PENUTUP: SENANG-SENANG KORANG TENGOKLAH SENDIRISaya tak perlu merumuskan filem ini panjang-panjang. Ceritanya mudah dan ringkas. Pasal cinta. Pasal anda bercinta. Bagaimana anda membawa cinta. Apakah peranan cinta dalam hidup anda? Selebihnya... saya ingin anda tanya sendiri... adakah ianya berbaloi dengan RM8 atau RM10 yang anda akan laburkan. Saya hanya mampu mengatakan, kalau anda punya hati dan jiwa, tontonlah filem CINTA! Kalau tidak ada... anda tahu sendiri jawapannya.
Akhir sekali...sebagai memenuhi janji saya pada pengerusi malam itu (Ally Iskandar) maka saya ingin mengajak anda untuk menonton filem indah ini. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Grand Brillance Sdn Bhd kerana sudi menjemput saya ke tayangan premiere filem CINTA.
CINTA sebuah kisah tentang kasih akan menemui anda pada 30 November 2006. Saksikannya di pawagam berdekatan!

Sultanmuzaffar yang sedang demam, sebelahnya Fadz yang bersongkok sedang menutup wajah dengan majalah filem.p/s: Terima kasih kepada
orang yang sanggup meredah jalan walaupun demam malam tu... juga tukang kasi kad jemputan... dan yang sudi hantar saya pulang pada malam itu... Terima kasih patik kepada sultan... hehehehe...
kredit foto:
Laman rasmi filem CINTA, http://www.cintathemovie.com
Baca ulasan lain:
- Abyss said,"...great screenplay & phenomenal performances."
- sultanmuzaffar menyenaraikan 50 sebab mengapa beliau suka CINTA."
- Ted kata,"how can a story about love not become another cliche?"
- KY said, "Ally Iskandar is an awesome emcee..."
- Mimpi Pari kata, "...filem yang best!"
- Lyanna kata, "...all about the emotions."
- Suanie kata, "...a feel-good movie that relies on our capability to love to make it work."
- Fireangel kata yang dia dah jatuh CINTA dengan Ally Iskandar, boleh gitu?
- Fadz kata, "Satu-satunya filem yang berjaya!"
- Muid said, "Really different!"
- Faisal kata, "Sebuah filem Melayu Urban!"
- Nurulhisham (Berita Harian) kata, "sentuhan Kabir Bhatia menusuk jiwa!"
- Baca sinopsis dari Filem Kita.com
ARTIKEL BERKAITAN:-- Jemputan Ke Pra Tonton Filem Cinta
- Teater Muzikal Pi Mai Pi Mai Tang Tu
- Cerita Lain Pasal Teater Muzikal Pi Mai Pi Mai Tang Tu
- Sekitar Majlis Berbuka Puasa & Sneak Peek The Red Kebaya
- Filem Red Kebaya: Jemputan Berbuka Puasa & Sneak Peek