Ruangan 'Singgah Blog' kali ini mengajak pembaca semua untuk mengenali seorang penulis blog yang menggelarkan dirinya,
Pakcik MMA. Kalau sebelum ini, Budiey telah menulis tentang istimewanya
blog Kenny Sia, kali ini apa kata kita luangkan masa mengikuti satu temubual ringkas bersama penulis blog yang seorang ini. Dia bukannya terkenal seperti Kenny Sia namun entah mengapa Budiey rasa amat perlu menemubual
Pakcik MMA. Mungkin sudah sampai seru... atau mungkin sempena dengan ulangtahun blognya yang ke-3... hehehe...

Cuba teka.. antara 3 orang budak dalam gambar ni...yang mana satu Pakcik MMA...?
Takkanlah semua blog yang kita singgah itu perlu mempunyai status blog yang terkenal dengan bilangan hits yang tinggi. Tidak juga. Sebagai pelawat dan pencinta blog, saya mahu singgah di semua blog yang ada. Tidak kiralah blog itu terkenal atau tidak. Tidak kiralah blog itu mempunyai hits yang tinggi atau sebaliknya. Yang penting, kita dapat menceduk sesuatu pengajaran dari hasil singgahan kita itu.
Saya tidak pernah berbual secara bersemuka dengan
Pakcik MMA. Cuma berbual sekali sekala di tingkap Yahoo Mesengger. Sebenarnya, sudah lama saya menjadi pembaca setia blog
Pakcik MMA. Saya perhatikan seperti blog lain, blog
Pakcik MMA menghimpunkan pembaca setianya yang tersendiri.
Sekarang, blognya telah berusia 3 tahun. Selamat menyambut ulangtahun yang ke-3. Semoga blog
Pakcik MMA terus hidup dengan entri yang lebih
power dan lantang lagi.
Apa yang menariknya blog
Pakcik MMA? Saya pun tidak tahu. Mungkin apabila sekali kita singgah, kita akan singgah lagi pada keesokan harinya. Mungkin juga kita sudah terbiasa untuk klik dan masuk ke situ. Dah menjadi kelaziman kata orang.
Membaca blog
Pakcik MMA memberi rangsangan untuk saya berfikir tentang dunia sebenar penulis yang menggemari nasi lemak ini. Banyak rentetan peristiwa dan luahan perasaannya telah diabadikan buat tatapan pembaca. Ada ketika,
Pakcik MMA tidak lokek untuk memperturunkan tips-tips dan panduan menerus jalan-jalan cari makannya. Dia juga tidak lupa untuk menaikkan nama seorang penyanyi yang juga menjadi rakannya, Norman Nor. Siapa itu Norman Nor? Jawapannya ada di blog
Pakcik MMA.
Namun, dalam banyak entri yang saya baca, beliau lebih cenderung meluahkan ketidak puasannya tentang dunia hiburan dan isu semasa. Selain itu,
Pakcik MMA secara terbuka menceritakan juga pendapat dan komentar tentang senario politik negara.
Tulisannya tidaklah 'skema' dan
standard. Namun, apa yang lebih penting, semoga dengan isi dan juga komentar
Pakcik MMA dapat sedikit sebanyak membawa satu lagi cetusan pendapat dan memeriahkan lagi senario blog tanahair.
Saya tidak perlu berbicara panjang kerana apa yang ingin saya pamerkan di sini ialah temubual eksklusif bersama
Pakcik MMA. Sebanyak 30 soalan telah pun dititip kepada
Pakcik MMA untuk dijawab.
Nampaknya, semuanya soalan skema dari Budiey dijawab dengan senang hati oleh
Pakcik MMA. Kepada
Pakcik MMA, terima kasih banyak sebab sudi menjawab kesemuanya.
1. Apakah definisi weblog pada pandangan saudara?
Weblog pada pandangan saya merupakan suatu landasan untuk kita menulis segala yang terlintas di fikiran kita. Dalam erti kata lain, ia merupakan satu medium untuk kita meluahkan perasaan, melontarkan pendapat dan berkongsi maklumat.
2. Bilakah titik permulaan anda menulis blog? Sebutkan tahun dan tarikh entri pertama anda?
Sejak tahun 2003. Entri pertama saya ialah pada 2 November 2003. Kiranya kalau masuk tahun ini, sudah 3 tahun saya menulis blog. Cuma pada peringkat permulaan, saya jarang sekali mengemas kini. Mungkin waktu itu, saya masih lagi samar-samar dengan dunia blog. Hanya sejak 2 tahun lepas, saya lebih kerap mengemaskini blog saya.
3. Boleh ceritidakan sedikit tentang latar belakang diri anda? Kenapa pakai nama Pakcik MMA? Dari mana asal-usul nama itu?
Mungkin ramai yang terkeliru dan ada yang beranggapan saya sengaja menumpang populariti arwah
Pakcik MMA (Pak Abbas, duta astro yang baru sahaja meninggal dunia) yang sebenar. Sama sekali tidak. Kalau di MMU, saya memang dipanggil pakcik.
Nama Faiz agak kurang
familiar untuk saya. Rata-rata kawan saya memanggil saya pakcik kerana personaliti saya yang agak ketuaan. MMA pula direka setelah saya memikirkan konsep dan hala tuju penulisan saya. Saya membuat keputusan tentang konsep blog saya pada tahun kedua saya menulis blog iaitu permulaan saya selalu mengemaskini blog. Dan, konsep yang saya pilih ialah sejajar dengan pengertian weblog pada diri saya sendiri iaitu menulis apa sahaja yang terlintas di fikiran.
Saya memilih konsep
"Macam-Macam Ada" kerana saya ingin pembaca tahu yang saya akan tulis meliputi segala aspek kehidupan. Tidak kira hiburan, politik, ekonomi mahupun isu semasa. Apabila saya cantumkan gelaran pakcik yang diberi oleh rakan-rakan saya dan konsep blog saya, maka timbullah nama
Pakcik MMA. Nama
Pakcik MMA telah timbul sebelum Aznil menggelarkan arwah Pakcik Abas sebagai
Pakcik MMA sewaktu konsert AF2.
4. Apakah tagline blog anda? (kalau ada) Berikan pengertian tagline itu kepada anda?
Jawapan untuk soalan ini ada terkandung dalam soalan 3. Hehehe...
5. Cerita sedikit di sebalik penubuhan blog anda?
Apa yang saya boleh kata ialah, TIDAK SENGAJA. Saya tubuh blog ini dalam keadaan blur dan tidak tau satu
html coding pun. Nasib baik ada insan yang menolong saya. Waktu tu, saya anggap blog ni
personal website. Hahaha.
6. Siapakah yang banyak memberi dorongan kepada saudara dalam bidang penulisan blog?
Insan-insan seperti Budiey sendiri yang banyak memberi perhatian kepada blog saya selain dari rakan-rakan di MMU. Rakan di MMU sering memberi maklumbalas yang positif terutamanya ketika terserempak ketika ingin ke kelas. Rata-rata memberi maklumbalas tentang entri berkaitan politik dan isu semasa. Maklumbalas sebeginilah yang menjadi lebih dorongan untuk saya lebih menulis.
7. Apa yang menjadi motivasi / inspirasi anda untuk menulis?
Inspirasi untuk menulis blog ialah untuk memberikan pandangan peribadi tentang sesuatu isu yang saya rasa saya perlu mengutarakan komen. Blog adalah platform yang sesuai untuk menulis komen peribadi yang boleh diakses oleh semua orang.
8. Siapakah sumber inspirasi / ikon anda dalam bidang penulisan blog?
Saya lebih suka menulis blog seperti gaya kita bercakap. Saya amat mengagumi blog Kak Waiem sebab bahasa yang beliau gunakan adalah gaya sebenar seperti orang bercakap.
9. Boleh saudara senaraikan 3 penulis blog yang paling saudara hormati dan 3 penulis yang anda benci (kalau ada)?
1.
Kak Waiem (sebab gaya bahasa dalam tulisan)
2.
Fiebie Mentally Distributed (Disturbed) (sebab ada unsur hiburan dalam penulisan)
3.
A Kadir Jasin (Komen seorang wartawan politik yang bernas)
10. Apakah faktor yang membuat sesuatu blog itu hilang pembaca?
Bahasa yang kasar sehingga mencarut, komen negatif yang tidak membina dan isu-isu yang ditulis sentiasa isu peribadi.
11. Siapakah 'target audience' saudara sebenarnya?
Secara jujurnya, saya tidak pernah berfikir target pembaca sebab konsep saya umum dan meliputi pelbagai aspek. Sesiapa sahaja boleh masuk membaca topik yang sesuai dengan mereka.
12. Komen saudara tentang pengawalan selia blog di Malaysia. Apakah perlu kerajaan mengambil tindakan bagi blog yang mencetus isu sensitif.
Bagi saya perlu tetapi jangan terlalu ketat. Saya berpendapat blog perlu lebih terbuka dari formal media. Mungkin pengawalan dari segi bahasa yang lucah dan kotor, isu yang melibatkan perkauman dan unsur fitnah sahaja yang perlu dikawal. Idea-idea yang benar perlu ditulis dalam blog walaupun sesuatu idea tersebut dikawal di formal media. Contoh isu: Perselisihan faham antara Pak Lah & Tun M.
13. Apakah cara anda untuk mencari khalayak pembaca / peminat anda sendiri?
Bagi saya, pembaca tidak perlu dicari sebab saya menulis blog bukanlah untuk mencari keuntungan atau menjadi popular. Cukuplah saya menulis idea di blog dan ada pembaca yang sudi membaca dengan rela hati. Itu yang lebih saya hargai.
14. Adakah template atau design blog anda menarik? Adakah anda berpuas hati dengan template anda?
No komen
since saya masih lagi lemah dalam
coding ni. Kalau tidak puas hati dengan design blog sendiri pun, itu sahaja yang saya mampu. Cukuplah,
template @ design blog memberi keselasaan untuk pembaca membacanya.
15. Antara menulis apa yang anda minat & menurut minat pembaca anda? Mana satu keutamaan anda?
Sudah tentu menulis apa yang saya minat sebab itu adalah tujuan asal saya memblog.
16. Setakat ini sudah berapa 'hits' yang telah melawat blog anda, kalau tidak pun sebulan tu berapa?
Alhamdullilah semakin hari semakin naik. Bulan lepas (September), ia mencecah hampir 7 ribu
hits untuk sebulan dengan purata lebih 200
hits sehari. Bagi saya itu sudah memadai dan saya amat berpuas hati.
17. Sebagai penulis, pentingkah anda mengenali siapakah pembaca anda?
Tidak. Cukuplah dengan maklumbalas daripada pembaca.
18. Sekarang ini, kita lihat terlalu ramai penulis dan pencipta blog yang baru sedang berjinak-jinak. Apakah pandangan saudara tentang fenomena blog yang amat memberangsangkan di Malaysia?Saya melihat dari sudut positif iaitu mereka juga seperti saya yang ingin meluahkan pendapat mereka melalui medium blog. Cuma, ramai di kalangan mereka yang hanya menulis isu-isu peribadi mereka sahaja dan tiada hala tuju dalam entri mereka.
19. Komen anda tentang peranan blog dalam pembangunan politik negara.
Bagi saya cukup penting. Blog merupakan satu medium dari orang bawahan seperti saya untuk meluahkan pendapat. Kerajaan perlu menganalisa segala pandangan untuk membaiki sistem pemerintahan mereka.
20. Apakah kontroversi terbaru dalam dunia blog yang anda tahu?
Isu yang melibatkan perkauman yang begitu sensitif dibicarakan.
21. Apakah kelebihan dan keuntungan berkomunikasi melalui blog?
Sudah tentu, dapat berkongsi pandangan kita dengan orang luar. Selain itu, kenalan juga boleh bertambah terutamanya antara penulis sesama penulis mahupun penulis dengan pembaca.
22. Kalau kamu sepohon pokok, kamu nak jadi pokok apa? Mengapa?
Nak jadi pokok durian sebab tidak semua benci durian dan tidak semua juga suker durian. Barulah terasa dunia ni seimbang.
23. Saudara nampaknya begitu aktif menulis blog. Setiap hari ada sahaja bahan untuk anda terbitkan. Bagaimana anda mencari / mencuri masa?
Soalan bonus ni. Hehehe. Saudara tanya soalan sebegini mungkin disebabkan saudara mengetahui saya juga sibuk dengan kehidupan saya sebagai seorang pelajar di MMU. Selalunya saya memikirkan apa yang nak ditulis ketika saya membuat kerja lain. Kadang-kadang idea mengenai topik apa yang ingin diitulis datang ketika saya memandu kereta mahupun ketika saya berada di bilik air! Cuma masa saya agak terhad untuk menulis. Kebiasaannya sebelum tidur dan waktu itu saya mempunyai idea, saya akan terus tulis.
24. Apakah cabaran seorang penulis blog seperti anda?
Cabaran bagi saya ialah konsep blog saya yang berbicara tentang segala aspek kehidupan. Kadang-kadang ada yang memandang sinis dan mengejek saya. Orang yang bercakap pasal politik pun ada selera nak ulas isu-isu hiburan katanya. Saya tidak kisah langsung pun. Yang penting, saya bebas menulis apa sahaja di blog saya. Hehe....
25. Apakah pengalaman pahit yang pernah anda lalui dalam dunia blog? Ceritakan juga pengalaman manis, kalau ada…
Cerita pengalaman manis la dulu. Hehe. Pengalaman manis apabila saya pernah ditegur di Mid Valley. Dier tanya saya adakah saya Faiz Nordin yang menulis blog
Pakcik MMA. Saya mengangguk dan dia kata dia pernah membaca blog saya. Saya amat menghargai teguran beliau.
Pengalaman pahit pula apabila saya dihentam oleh orang yang mempunyai minda jumud dalam ulasan saya untuk ABP. orang tersebut mencaci artis sehingga Rosyam Noor pun dipanggil binatang. Inilah akibat yang saya terpaksa tempuh jika mencampur adukkan segala aspek kehidupan dalam blog.
26. Adakah anda pernah digoda oleh pembaca yang telah jatuh cinta dengan anda? Kalau ada, adakah anda menerimanya atau mengambil kesempatan?
Ada seorang ni pernah menghantar email kepada saya dan ingin berkawan secara serius. Sampai bagi no tepon beb. Hahaha. Saya langsung tidak layan sebab ada hati yang perlu saya jaga. Hehe....
27. Pernahkah anda menerima surat layang dari pembaca yang membenci tulisan anda?
Setakat ni, alhamdullilah tiada surat layang.
28. Ceritakan keadaan blog anda pada masa 5 tahun, 10 tahun dan 20 tahun akan datang?
5 & 10 tahun: Saya mungkin akan mengekalkan konsep macam-macam ada seperti sekarang.
20 tahun: Waktu itu, saya mungkin akan memberi fokus terhadap politik ataupun isu semasa sahaja.
29. Untuk tahun 2007, apakah azam baru anda dalam membangunkan blog anda?
Setiap tahun, saya berazam untuk lebih mematangkan tulisan saya. Saya masih lagi tidak puas hati dengan kematangan tulisan saya. Jadi, azam untuk mematangkan tulisan saya menjadi azam blog saya setiap awal tahun. Sampai bila azam ni akan kekal, saya tidak tahu.
30. Adakah anda berpuas hati dengan blog anda sekarang?
Manusia mana yang puas hati dengan kerjanya. Saya belum puas hati dengan blog saya terutamanya cara saya menulis. Masih banyak lagi yang perlu saya baiki dalam tulisan saya.
Itu saje. Sekian terima kasih
ARTIKEL BERKAITAN:-
- Singgah-singgah Blog: Kenali Kenny Sia.Com Yang 'Nakal'
- Politik Dan Perang Blog
- Fiebie, Jangan Berhenti Menulis!
- Surat Dari Pembaca: Anda Memang Luar Biasa