Pernah menonton drama Seputeh Qaseh Ramadan di TV3? Saya tidak pernah ketinggalan mengikutinya setiap malam Selasa hingga Khamis. Drama ini penuh dengan mesej positif. Mengajar penonton erti kasih sayang seorang ibu yang tidak putus menyayangi anaknya. Penderitaan Qaseh bukan setakat dalam batin, namun zahirnya Qaseh dihimpit derita penyakit kanser lalu terus didera dengan sejuta pergolakan perasaan.
Drama bersiri 15 episod itu terbitan Global Station Sdn Bhd yang disiarkan menerusi slot Samarinda di TV3 diuar-uarkan mampu menyentuh perasaan penonton. Antara pelakon Arash Mohamad (Ridwan), Fahrin Ahmad (Johan) dan pelakon kanak-kanak. Drama arahan dan skrip daripada Shahrulezad ini menemui penonton mulai 19 September lalu, setiap Selasa hingga Khamis, jam 10.30 malam.
Watak Qaseh dipertontonkan dengan begitu cemerlang oleh dramatis Sharifah Shahrizah Saifuddin. Selalunya watak perempuan lemah lembut memang sesuai dan padan dengan wajah ayu Eja.
Drama ini penuh dengan watak-watak jahat lagi kejam ibu mertua & isteri baru yang ingin melihat Qaseh tersingkir dan terbuang setelah diranap maruahnya dipenjara. Seterusnya bertambah sakit ditenyeh bara derita setelah suaminya yang begitu dayus mendengar kata fitnah durjana.
Dicerainya Qaseh dengan talak satu. Membiarkan Johan dan gadis India berusaha memulih kembali semangat untuk melawan penyakit kanser.
Berjayakah Johan dalam usahanya itu?
Saya melihat lakonan Ifa Raziah lulus cemerlang dengan watak perempuan yang berhati busuk. Dia membuat saya rasa benci dan meluat dengan sikap hipokrit dan hasad dengki. Lagi rasa meluat dengan sikap ibu mertuanya yang tak ubah watak dalam filem Ibu Mertuaku. Dengan gaya cermin matanya, dengan kipas yang sentiasa tak lekang di tangan... memang watak itu sebijik menjadi.
Persoalan adakah Qaseh benar-benar memilikki dadah lalu merengkuk dipenjara? Atau Qaseh terpaksa mengaku kerana terlalu sayangkan anak-anak? Semua itu sudah terjawab apabila Johan telah melakukan soal selidik. Dari penyiasatan yang dibuat, rupa-rupanya Qaseh lakukan itu semua kerana suaminya. Sebenarnya dadah itu milik suaminya, Ridwan.
Sesuai ditayangkan dimusim perayaan, drama ini juga banyak mencurah pengajaran. Inilah rentetan kehidupan. Dalam kita bahagia, pasti ada mata jahat yang ingin menikam noda. Dalam kita bergembira, jangan lupa ada duka menanti di depan hari.
Maka, bersediakan anda semua untuk menghadapinya?
ARTIKEL BERKAITAN:-- Maya Karin: Dia Pelakon Yang Ku Gemari
- Filem Red Kebaya: Jemputan Berbuka Puasa & Sneak Peek
- Foto-foto Drama Lost: Musim Ke-3