
Semalam, saya teruja membaca satu blog yang terkenal,
Kennysia.com. Anda pernah ke situ? Kalau pernah, ternyata anda ini sememangnya suka dengan lawak-lawak sinikal.
Genap setahun saya menjadi pembaca setia blog tersebut. Blog Kenny menggunakan bahasa Inggeris yang senang dan bersahaja. Penyampaian yang ringkas dan tidak berbelit-belit.
Apa yang membuat saya tertarik dengan blog Kenny Sia adalah kerana blognya dan beliau itu sendiri sekarang sudah menjadi popular. Ternyata, Kenny bijak 'menjual' blognya sebagai satu produk seperti mana produk-produk yang dijual oleh Siti Nurhaliza. Terbukti, pada bulan ini, gambarnya tersiar di muka hadapan sebuah majalah berbahasa Inggeris, New Man.
Dari situ, saya membuat andaian bahawa adalah tidak mustahil seorang penulis blog menjadi seorang selebriti yang dikenali. Kenny Sia telah membuktikan kenyataan saya ini. Kenny telah berjaya menempatkan dirinya di kalangan orang yang terkenal sebaris dengan artis dan penulis profesional.
Padahal Kenny hanyalah seorang penulis blog yang pandai mengolah aksi-aksi dan gambar lucu dalam setiap entrinya. Itu sahaja. Mungkin sudah rezeki beliau, penerimaan khalayak pembaca menjadikan blognya sentiasa ditatap oleh peminatnya yang bertambah setiap hari.
Menjadi tumpuan editor Majalah New Man bukan senang. Dan pada saya bukan senang juga untuk menjadi seorang penyumbang karya untuk satu column tetap di
KLue Magazine. Apa yang diperlukan untuk menjadi seperti beliau ialah sensitiviti
sense humor yang tinggi. Ditambah dengan pengolahan fakta, foto-foto yang menarik dan disampaikan dengan nada yang sinis tapi masih boleh diterima sebagai satu lelucon yang menceriakan. Kadang-kadang, idea yang diutarakan memang gila-gila sikit dan ada kelucahan yang sederhana.

Mungkin aset itu yang membuat beliau menjadi penulis tetap column Blog Roll with Kenny Sia di majalah
KLue Magazine. Ruangan itu membicarakan tentang ulasan blog yang ditulis oleh penulis blog terbaik di Malaysia. Memonopoli satu ruang entri dalam majalah
urban untuk setiap bulan sudah cukup mengenengahkan nama beliau kepada umum. Pendapatan yang diterima tidaklah seberapa tetapi ternyata itu satu kerja yang menyeronokkan bagi beliau.
Siapa dia Kenny Sia? Untuk mengenali beliau dengan lebih lanjut, anda bolehlah membaca biodatanya di
sini. Setakat yang saya tahu, Kenny berasal daripada Kuching, Sarawak. Mendapat pendidikan dari Curtin University dan berjaya merangkul ijazah dalam bidang Fizik dan Ijazah Kepujian dalam bidang Elektronik dan Komunikasi Kejuruteraan Australia. Pernah bekerja dan menetap di Perth, Australia. Namun, Kenny terpaksa pulang setelah mendapat tahu ayahnya sakit kuat.
Selain menulis blog, jalan-jalan serata Asia menjadi hobinya. Saya seronok membaca pengalaman beliau melancong di serata Asia. Serba sedikit bolehlah dijadikan panduan.
Semoga KennySia.com sentiasa berkembang sealiran dengan masa yang sentiasa laju berlari.
ARTIKEL BERKAITAN:-- Politik Dan Perang Blog
- Fiebie, Jangan Berhenti Menulis!
- Surat Dari Pembaca: Anda Memang Luar Biasa