
Anda pengemar siri sitkom terkenal TV, Pima Pimai Tang Tu? Kalau ya, anda mesti baca entri ini. Tajuk sitkom lawak ini diadaptasi dari loghat utara lebih kurang bermaksud, pergi mari pergi mari tapi duduknya kat situ juga. Alih bahasa Kelate, gi maghi gi maghi, duk situ jugok. Maksud yang lebih dalam lagi, seseorang yang melakukan pekerjaan yang tidak ada hasil. Lebih kurang macam tu.
Saya antara peminat siri yang dibintangi oleh ramai pelawak tersohor tanahair ini. Watak yang sinonim dengan PMPMTT ini ialah Pak Uda. Gelak habis tengok Pak Uda (Zami Ismail) yang pelupa, gatal dan miang. Tapi kesian juga, ramai antara mereka di kala ini sudah mencapai usia senja. Walau bagaimanapun ada juga yang masih gagah menongkah arus aliran seni persembahan perdana seperti Imuda. Selebihnya sudah berundur dari dunia seni.
Dan dengar ceritanya, Istana Budaya akan mengangkat program sitkom popular ini ke pentas agungnya, Panggung Sari pada 24 November hingga 3 Disember jam 8.30 malam. Lambat lagi tapi Istana Budaya sudah buat press conference. Muzikal yang dibintangi pelakon-pelakon asal, antaranya Zami Ismail, Khatijah Tan, Sabri Yunus, Imuda, Ahmad Busu, Sathia, Angeline Tan ini turut memperkenalkan muka-muka baru. Siapa dia yang jadi muka baru? Itu kena tunggu!

Othman Hafsham - Kredit Foto: Berita KaryawanGabungan mantap pensyarah teater dan filem, Dr Hatta Azad Khan dan pengarah berpengalaman, Othman Hafsham, akhirnya ia mampu merealisasikan pementasan muzikal ini. Skrip asalnya berjudul N.T pada 1983 sebenarnya untuk pelajarnya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pernah dipentaskan di Panggung Bandaraya oleh pengarah Mior Hashim.
Saya rasa, teater begini akan mengembalikan sejarah dan kenangan dulu kala yang pernah saya tempuhi. Sekarang ini pun, saya menyimpan beberapa episod sebagai koleksi. Saya membesar dengan program lawak nombor satu ini. Lawak spontan mereka ada mesej dan tersendiri. Tidak seperti lawak bodoh yang ditonjolkan oleh Senario.
Perasan tak? Senario sekarang seakan hilang sengat. Lakonan mereka sudah tidak berapa kelakar seperti dulu. Membosankan. Mungkin juga Saiful Apek juga tidak lagi menjadi keluarga Senario, manakala Yassin juga sentiasa mencari lubang-lubang yang dapat dijadikan sandaran untuk menjadi pelawak terkenal.
Dihidangkan dalam bentuk 50 % muzikal dan 50 % lakonan, saya rasa penonton akan lebih dibawa menjelajah ke zaman silam. Muzik dan pemilihan lagu yang bersesuaian pastinya akan membantu penonton dalam siri penjelajahan ini.
Untuk sitkom yang kini tinggal kenangan seperti ini, akan dihidupkan kembali dengan lakonan mantap bersahaja dan pastinya luar biasa.
Muzikal ini bakal memaparkan kehidupan masyarakat Malaysia, melalui sentuhan, sindiran sinis, tamparan yang terselit di dalamnya nilai-nilai yang harus dipertahankan. Seiring dengan masa, muzikal ini akan membuka lembaran kisah dan isu yang lebih relevan dengan situasi semasa. Siapa yang makan lada dia akan terasa pedas.
Bukan senang untuk buat orang ketawa. Tambahan pula, penonton datang dengan tiket berbayar. Maka, mereka mahu bayaran biarlah setimpal dengan impak yang mereka akan terima. Bukan senang untuk menghibur orang kerana tiket sudah berbayar. Orang ingin tonton sesuatu yang lebih baik dari yang sebelumnya.
Tidak sabar rasanya untuk menonton muzikal ini di Istana Budaya! Siapa mahu ikut?
ARTIKEL BERKAITAN:-- Konsert Muzikal Irama Tanah Pusaka Ii Di Istana Budaya
- Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang
- Teater Wangi Jadi Saksi @ Dewan Bahasa Dan Pustaka