MENONTON BERSAMA PERDANA MENTERI
Semalam saya telah menghadiri satu persembahan Konsert Muzikal IRAMA TANAH PUSAKA II di Istana Budaya. Terima kasih daun keladi atas jemputan daripada Istana Budaya yang sudi menjemput penulis blog picisan seperti saya.
Semangat betul saya apabila diajak untuk menonton persembahan Orkestra Simfoni Kebangsaan untuk pertama kalinya. Lagi seronok apabila saya mendapat tahu Perdana Menteri, YAB Dato's Seri Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi dan Dr Rais Yatim juga turut sama hadir memeriahkan suasana. Pak Lah yang segak dengan berbaju melayu hijau lembut manakala Dr Rais berbaju batik duduk hanya beberapa meter di lantai atas tempat saya duduk.
Dijemput atas dasar seorang penulis, saya rasa ada satu perbezaan antara rasa menjadi jemputan dan rasa menjadi penonton biasa. Kita dijemput untuk mempromosikan persembahan tersebut. Bukan setakat kita dengar muzik secara santai, namun jauh dari itu, saya perlu meluahkan segala rasa dalam bentuk tulisan.
Ulasan juga perlu ada komentar dan huraian yang pastinya memerlukan teknik tertentu. Sekarang ini, baru saya terasa naluri jiwa seorang penulis yang terpendam sekian lama dalam diri saya meresap kembali. Saya harap, pengalaman dan masa dapat membentuk bakat yang Allah kurniakan kepada saya supaya menjadi penulis yang berhemah.
Saya ingin mendalami dunia penulisan secara mendalam lagi selepas ini. Itu azam saya. Kelemahan saya dalam teknik menyampaikan ulasan dan berita perlu diperbaiki. Walaupun jurusan saya bukannya dalam penerbitan dan penulisan, namun kerana minat dan kesungguhan, saya akan gagahi juga untuk mencuba sesuatu yang baru dalam hidup.

Antara goodies buah tangan dari Istana Budaya untuk para media.
IRAMA TANAH PUSAKA II
Bagi merealisasikan hasrat Perdana Menteri, Istana Budaya berbesar hati mengangkat semula lagu-lagu rakyat yang digubah semula dalam bentuk simfoni orkestra. Cukup membuat saya kagum dengan gubahan baru yang lebih besar momentum dan impaknya.
Saya memang suka dengan muzik orkestra sejak dulu lagi. Bertambah seronok kerana semua lagu yang digubah itu pernah saya dengar dan memang selesa di telinga. Siapa yang tak pernah dengar lagu-lagu rakyat seperti Sirih Pinang, Sekapur Sirih Seulas Pinang, Tari Bunga Rampai, Ala Canggung, Kenek-kenek Udang, Tudung Periuk, Renjis-Renjis Dipilis, Bunga Tanjung, Ketipang Payung dan banyak lagi.
Saya membesar panjang dengan lagu-lagu ini. Kadang-kadang mendengar lagu rakyat sekali sekala dapat mengembalikan nostalgia-nostalgia lama yang sudah luput dari lubuk fikiran.
Masih ingat lagi, saya pernah mempromosikan
IRAMA TANAH PUSAKA pertama yang diadakan pada 20 - 21 Ogos 2005. Kali ini konsert yang dipimpin oleh Mustafa Fuzer Nawi ini turut menampilkan 2 penyanyi undangan iaitu Dato' Yusni Hamid (26 Ogos) dan Datin Paduka Julie Sudiro (27 Ogos) yang mendendangkan lagu Bunga Teratai.
Acara ini diadakan bertepatan dengan Bulan Kemerdekaan yang bakal tiba 5 hari lagi. Menjelang hari kemerdekaan yang ke 49, kita perlu menginsafi kesenangan yang kita kecapi hari ini adalah dari titik peluh orang dulu-dulu mempertahankan negara. Seterusnya kita menghayati erti kemerdekaan dengan penuh kesyukuran. Bumi kita pijak ini masih aman damai sehingga kini. Alhamdulilah...
Dengan mendengar dan menghayati lagu-lagu rakyat, semangat kemerdekaan dan jati diri kita akan diasah semula. Kita perlu mempersoalkan, sejauh mana negara kita telah mencapai kemodenan sekali pun, adat seni dan lagu-lagu dari zaman nenek moyang kita perlu dikenangkan juga.
Tidakkah anda semua terfikir yang kita ada khazanah seni yang perlu dibanggakan. Sayang sekali ini semua semakin kita lupakan. Berapa ramai anak muda kita telah tenggelam dan hanyut terleka dengan budaya dan lagu-lagu Barat.
Ironinya, dengan menyanjungi lagu-lagu yang menjajah minda mereka sehingga menjadi liar dan terpengaruh dengan anasir-anasir yang negatif. Saya tak boleh gambarkan suasana yang akan terjadi 10 tahun atau 20 tahun akan datang. Masih ada lagikah manusia yang ingin mendengar lagu-lagu rakyat ini...?
APA YANG MENARIK?
Persembahan dilewatkan 30 minit untuk menunggu Perdana Menteri dan tetamu lain tiba di Panggung Sari. Sebelum itu. banyak rongga-rongga kosong tempat duduk yang tidak berpenghuni. Pengerus majlis malam itu menyuruh penonton untuk memenuhi ruang kosong agar tempat nampak padat. Persembahan malam ini dirakam oleh RTM untuk tujuan pengisian program pada hari kemerdekaan nanti.
Apa yang seronok untuk dilihat ialah aturan atau susunan pemuzik-pemuzik yang kemas. Penataan cahaya yang seiring dengan alunan muzik. Serta prop yang ringkas dengan dihiasi 6 tirai kain lace berlabuci panjang yang diikat di bawah. Dengan banner Irama Tanah Pusaka megah digantung di tengah-tengah. Menjadikan pentas sempurna walau tampak ringkas.
Persembahan soloist dan juga pemuzik solo yang dijemput khas dari pelbagai bangsa menggambarkan lagu rakyat kita mempunyai variasinya tersendiri. Pendek kata setiap bangsa di Malaysia mempunyai lagu rakyat mereka sendiri. Itu belum termasuk lagu-lagu rakyat dalam loghat negeri.
Persembahan dibahagikan kepada beberapa rapsodi. Dimulakan dengan overture intro yang memainkan lagu Sirih Pinang, Sekapur Sirih Seulas Pinang dan Tari Bunga Rampai. Kemudian, Melodi Borneo yang saya kira amat menarik perhatian dengan lagu Jambatan Tamparuli. Saya pernah dengar budak AF Lotter, Marsha dan Velvet menyanyikan lagu ini.
Tidak lupa lagu-lagu persandingan yang digubah oleh Ramlan Mohd Iman mengimbau memori pada setiap detik manis perkahwinan Melayu. Mengingatkan saya pada peristiwa manis yang akan berlaku esok di mana Siti Nurhaliza akan disandingkan dengan Datuk K.
Selebihnya, ada bahagian untuk Rapsodi Bunga yang menghimpunkan lagu-lagu bertemakan bunga seperti Bunga Teratai, Bunga Tanjung dan Bunga Melor. Kemudian, ada Konsertino Ritieno dan Caklempong.
Persembahan ini membuat saya segar seketika kerana muzik yang rancak untuk lagu Ala Canggung, Kenek-Kenek Udang dan Ketipang Payung. Penari jemputan juga tidak kurang hebat pada malam itu dengan tarian cina yang nampak berseri dengan tiga kipas besar.
Saya rasa, konsert muzikal ini akan lebih sempurna dengan ada kumpulan koir yang boleh menyemarakkan semangat. Mungkin pada masa akan datang, Istana Budaya akan menjemput kumpulan koir untuk mencipta sedikit kelainan. Takdelah setiap tahun persembahan sama sahaja. Lagi pun, saya rasa banyak lagi lagu-lagu rakyat yang masih tidak diperdengarkan.
Namun begitu, saya tetap berbangga kerana diberi peluang untuk menyaksikan sendiri satu persembahan yang amat mengkagumkan pada malam tadi. Sebelum masuk ke Panggung Sari, ada minuman ringan untuk media. Sempat minum segelas tea tarik untuk membasahkan tekak. Selepas keluar, kami diajak untuk menikmati mee hun goreng dan sate nasi himpit... Mmm... sedap jugak!
Terima kasih sekali lagi untuk Istana Budaya. Persembahan terakhir akan diadakan pada malam ini jam 8.30 malam. Hubungi Istana Budaya: 03-4026 5558.
Membelek akhbar Berita Harian hari ini, ada selembar berita bertajuk
"Pak Lah saksi konsert di IB." KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meluangkan hampir satu setengah jam menyaksikan konsert Irama Tanah Pusaka II yang menampilkan persembahan lagu rakyat dan patriotik yang disampaikan dalam bentuk simfoni orkestra di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) di sini, malam tadi.
Konsert yang menyajikan 22 lagu oleh pemuzik profesional Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) pimpinan Mustafa Yuzer Nawi itu adalah sebuah produksi Istana Budaya untuk merealisasikan impian Perdana Menteri yang mahu mendengar dan merakamkan semula lagu-lagu rakyat dalam bentuk itu dibuat.
Dua puluh satu lagu dipersembahkan secara instrumental termasuk membabitkan penggunaan alat muzik tradisi Melayu, India dan Cina manakala satu lagi lagu iaitu Bunga Teratai disampaikan penyanyi veteran, Datuk Yusni Hamid.
Lagu disampaikan secara instrumental adalah Sirih Pinang, Sekapur Sirih Seulas Pinang, Tari Bunga Rampai, Malam Bersanding, Renjis-Renjis Dipilis dan Pengantin Baru, Bunga Tanjung dan Bunga Melur.
ARTIKEL BERKAITAN:-- Promo Irama Tanah Pusaka 1
- Jom Hayati Irama Tanah Pusaka @ Istana Budaya