
Aku tak banyak disogokkan dengan kisah Hang Tuah. Walaupun diluar sana telah banyak versi kisah pahlawan lagenda itu dipentaskan. Tapi kali ini hati sanubari halusku tergerak untuk menonton sebuah teater versi Hang Tuah pada perspektif seorang pengarah prolifik, Uwei Haji Shaari. Aku rasa kempunan sangat kalau tidak tonton teater ini kerana jarang aku dapat tontonan versi Hang Tuah dalam bentuk yang unik dan berwaspada.
Sempena sambutan Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka, teater ini pastinya menjanjikan pemahaman yang lebih kontemporari dan multi-dimensi kepada teks Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu. Aku rasa juga motif dan rahsia di sebalik pengenalan ini adalah untuk menjadikan cerita kepahlawanan dan kecintaan ini dapat diterapkan dalam jiwa anak Malaysia.
Keduanya adalah watak Dang Wangi ditonjolkan sebagai teraju utama dalam siri pengembaraan teater kali ini. Berbeda dengan pentas sebelum ini yang menumpukan kepada cerita Hang Tuah dan sahabatnya yang lain. Mekanisme ini bakal meletakkan Vanidah Imran sebagai pelopor yang akan diingati sepanjang karier beliau. Bermula dengan rentak dimana Dang Wangi tidak dapat menerima takdir kehilangan kekasih hatinya, Hang Jebat. Lalu api dendam takkan padam selagi ianya terburai dari badan. Namun, kisahnya tidak berpenghujung dengan obor dendam lantaran niatnya untuk membalas dendam tak kesampaian setelah mendengar cerita sebenar dari Pateh Karma Wijaya.
Pengarah U-wei Shaari telah menterjemahkan sesuatu keajaiaban dalam penyusunan plot dalam teater ini. Gaya penceritaan akan membawa penonton menjelajah dan mengenali watak-watak secara abstrak dan mendalam. Mungkin kerana itu, aku ingin sekali melihat bagaimana garapan beliau kali ini untuk membina satu naskah yang luar biasa.
Lakonan dari nama-nama besar juga ditunggu-tunggu untuk memberi corak berbeda. Lakonan Khalid Salleh sebagai Pateh Karma Wijaya adalah paling mencabar kerana memerlukan perlambangan dalam imbasan dan bayangan-bayangan yang mungkin akan mengaburi pemahaman serta intrepretasi penonton.
Ku kira, sebelum menonton, audien sudah ada cerita yang telah disuntik sejak kecil bahawa Hang Tuah telah bergaduh sakan dengan Hang Jebat. Dan ini juga akan menjadi satu klimaks dalam teater ini. Ceritanya sudah ada terlakar kemas dalam minda. Cuma penonton perlu lebih bijak memahami apakah mesej dan kelainan yang akan dipersembahkan.
Lakonan yang membuat aku lebih teruja adalah watak Datuk Rahim Razali juga pernah membawa watak Bendahara di dalam filem Puteri Gunung Ledang (2004). Dialog yang tersusun kemas serta skrip yang penuh perumpamaan, pantun serta lagu mungkin menjadi bunga-bunga yang mengindahkan suasana zaman dulu kala.

Aku harap akan ramai penggemar teater akan menumpukan perhatian untuk menonton teater ini. Ini adalah julung kali DBP sebagai peneraju bahasa Melayu menganjurkan teater. Untuk masa akan datang, diharap akan wujud usaha-usaha sebegini dalam memartabatkan bahasa Melayu dan juga akar umbi sejarah Melayu.
Produksinya yang dijayakan dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan sebagai salah sati aktiviti sambutan Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka ini turut mendapat sentuhan pakar-pakar luar negara termasuk pengarah seni Desmond Crowe (Alexander, Hamlet dan Othello), rekaan muzik Y. Subowo dari Indonesia rekaan tari Dwiono Hermantoro dan Suhaimi Magi (Rono).
WJS akan membuka tirainya kepada penonton umum pada malam ini 27 Julai (Khamis) di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka, Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur, hingga Ahad, 6 Ogos 2006. Persembahan dimulakan jam 8:30 malam dari hari Selasa ke hari Ahad, dan persembahan tambahan diadakan pada hari Sabtu dan Ahad pada jam 3:00 petang.
Tiket-tiket berharga di antara RM35 hingga RM100 boleh didapati melalui Axcess Hotline di talian (03) 7711 5000 laman web
www.axcess.com.my