

Seperti yang dibicarakan semalam, aku seronok dan enjoy menonton muzik video TERLALU ISTIMEWA ini. Memang menjadi terlalu istimewa bagi aku. Banyak sebab aku cakap begitu kerana pertama sekali, aku dah hafal lagu ini. Bila dah hafal dan sudah menyelami serta memahami liriknya, maka kita tak ralat untuk mengerti apa yang tersirat. Kita akan tahu persepsi dan konsep pengarah muzik video ini untuk menterjemahkan mesej ke skrin tv.


Untuk beberapa minggu kebelakangan ini, lagu-lagu dalam album Adibah Nor ini menjadi teman setia aku di ofis. Tak boring dengar album ini. Banyak genre muzik yang korang boleh dengar memberi gambaran di mana Adibah seorang penyanyi versatile. Dengan mutu muzik yang indah menusuk ke dalam rongga-rongga jiwa, diselang seli dengan gambar-gambar kanak-kanak yang cukup menyentuh hati kecil aku. Aku jadi terharu. Hati dan mata bergabung menjadi satu deria yang seakan ingin memahami perasaan aku yang dulunya tandus dengan kasih sayang dari seorang yang bergelar bapa. Sudah 10 tahun arwah ayah meninggal dan selama itu juga aku akan mengingati kasih sayangnya yang pernah dicurahkan kepada aku. Jasanya akan tetap aku kenang.


Aku suka tengok suasana pantai dalam video klip ini. Ianya seakan mengajak aku untuk pulang ke kampung halaman. Kampung aku terletak di tepi pantai. Namun, aku rasa pantai yang menjadi lokasi pengambaran video klip ini lebih cantik dan lebih damai. Aku pun tak tahu kat mana pantai dalam klip video ini. Ditambah dengan seni fotografi dan juga sinematografi yang boleh dibanggakan, video klip ini menjadi sempurna. Bagi aku, pantai menggambarkan satu kedamaian. Ombak yang sering pasang dan surut itu melambangkan satu kebebasan untuk memberi dan menerima. Give and take. Itu satu konsep penting dalam jalinan kasih sayang. Daun-daun kelapa yang meliang lintuk itu seolah mengajak manusia agar mencintai kedamaian. Dan itulah yang aku ingin lihat sepanjang aku hidup dalam dunia yang fana ini... manusia hidup aman damai tanpa berbalah sesama sendiri. Aku ingin hidup damai dan ingin mengajak mereka agar mencintai kedamaian.


Sebagaimana yang kita dapat lihat dari gambar yang aku petik, Adibah menggunakan lebih 10 orang kanak-kanak dalam video klip ini. Terus terang aku katakan, bahawa aku suka dengan kanak-kanak. Walaupun aku tak punya anak, tapi dalam hati aku punya azam untuk mempunyai anak yang ramai dan comel-comel belaka. Penterjemahan lagu TERLALU ISTIMEWA
(perlukah aku ulangi berkali-kali bahawasanya lagu ini memang istimewa) lebih kepada kasih sayang ibu kepada anak. Aku baru sahaja mendapat tahu yang lagu ini ditribute untuk seorang kanak-kanak, Adik Nurul Huda Abdul Ghani yang berusia 10 tahun. Adik malang ini telah menjadi mangsa rogol dan dibunuh kejam oleh manusia yang tak berperi kemanusian. Jiwa halus aku turut tersentuh dan sayu mengenangkan nasib anak ini.


Setelah aku menonton, tema utama yang aku rasa adalah kasih sayang. Itu gambaran pertama yang aku rasa melekat dalam minda. Lagu ini mengajak kita agar mencintai kanak-kanak yang bakal mewarisi tampuk negara. Kanak-kanak yang bakal menjadi remaja dan dewasa seperti yang kita alami kini. Mereka umpama sebatang pohon yang baru tumbuh. Perlu disiram dengan kasih sayang dan dibajai dengan ilmu pengetahuan. Mereka juga seperti sehelai kain putih yang perlu dicorakkan dengan warna-warna ceria dan penuh dengan ilmu asuhan cahaya permata. Mereka memerlukan kasih sayang yang sepenuhnya dari ibu bapa dan keluarga. Isu penderaan kanak-kanak bukan isu yang baru. Dari dulu anak-anak menjadi mangsa penderaan dan inilah yang menjadi pokok utama yang ingin disampaikan dari lagu Adibah. Usah mendera kanak-kanak kalau anda tak mau diri anda didera oleh Yang Maha Pencipta.