
Aku hairan bila melihat nasib penyanyi yang berbadan besar, gemuk, chubby, gedempol atau perkataan yang sesensitif dengannya... diorang payah nak dapat cari makan di Malaysia. Aku tak nak cakap kat negara orang lain sebab aku rasa minda orang Malaysia perlu diperbetulkan dahulu. Minda mereka tidak akan menerima artis yang berbadan gemuk sebab sudah dikunci ketat-ketat bahawa untuk menjadi penyanyi yang berjaya dan diminati oleh masyarakat penyanyi tu mesti punya badan yang slim, cantik dan itulah dia kita namakan satu pakej yang baik. Hal ini buat aku sedih dan kesian melihat nasib mereka. Ironinya, timbul niat untuk aku membicarakan isu artis berbadan besar yang juga mungkin menjadi fokus utama bicara aku kali ini.
Contohnya, Aisyah yang dulunya sedikit berisi (telah menjadi besar) bila setelah mendirikan rumah tangga tapi sekarang kembali solo. Aisyah dulunya memang artis top no 1 setelah meledak dengan Janji Manismu. Kini, dia kurang mendapat sambutan walaupun lagu Tiada Lagi Tangisan mendapat sambutan. Pemenang tempat kedua Malaysia Idol 1, Dina yang aku rasa dari dulu dan kini berbadan begitu berjaya meledak dengan menggondol kemenangan di negara orang. Jangan harap untuk gah di negara sendiri.
Contoh yang paling dekat dengan minda aku sekarang ini ialah Adibah Noor. Bakatnya disedari ketika memenangi satu pertandingan anjuran Nescafe. Ketika itu ada yang tertawa-tawakan Adibah sebab suaranya memang "fuuuyooo sedap ooo...." itu kata aku. Kata orang lain walaupun minda dia kata sedap, tapi lepas tengok body... "Mmmm.... bolehla tahan." Aku rasa pada mereka yang rasa camtu baik korang tutup mata dan bayangkan Adibah tu kurus. Dengar betul-betul, cari istimewanya suara Adibah dan jangan lihat kepada soal tubuh badan.
Aku rasa ramai lagi artis-artis lain yang aku tak sebut nama terjebak dalam kancah dan nasib yang sama dengan Adibah. Sehingga pada suatu tahap Adibah terpaksa cari makan dengan berlakon dalam iklan TV3 dan beberapa produk iklan yang lain. Dia lebih dikenali sebagai pelakon dan penyumbang suara latar untuk iklan dan juga beberapa lagu patriotik. Aku rasa itu sudah baik. Sekurang-kurangnya rakyat Malaysia kita dah pandai nak terima orang macam Adibah. Kesian kat depa tak dapat cari makan. Kalau dapat cari makan pun memang susah nak jalan. Memang susah nak percayakan pihak-pihak yang tertentu. Seolah dunia hiburan di Malaysia hanya untuk orang yang berbadan kurus macam Era Fazira dan Siti Nurhaliza serta beberapa nama artis yang satu size dengan mereka berdua.
Aku rasa bukan penyanyi perempuan sahaja tetapi lelaki yang berbadan besar jugak yang terkena tempiasnya. Mereka perlu cari sesuatu yang unik dan dapat menyerlahkan diri mereka untuk menambahkan lagi selera rakyat Malaysia untuk melihat. Kalau mereka berdiam diri dan tidak melakukan sesuatu, aku rasa bakat mereka yang jauh lebih baik dari artis kurus... alamak aku rasa memang terkubur tinggal batu nesan saja. Atau ikhtiar yang paling akhir, kalau orang tak terima keadaan fizikal kita, mintalah tajaan dari mana-mana produk slim badan untuk dijadikan model. Itu jalan penyelesaian terbaik seolah-olah masalah dah tak dapat diselamatkan lagi. Kekadang aku rasa janggal bila orang yang biasa kita lihat gemuk jadi kurus.
Bercakap pasal Adibah, dua minggu lepas dan sampai sekarang ni aku mendengar lagu-lagu terbaru dari album TERLALU ISTIMEWA. Album ini dilancarkan di Tasik Putrajaya pada 3 September yang lalu. Selepas mendengar album tersebut, aku rasa album itu boleh pergi jauh kalau dicanang betul-betul oleh para media dan Adibah sendiri. Tidak hanya tertumpu kepada artis-artis yang baru tumbuh sedangkan ada artis yang lama tumbuh tapi tak disiram hingga jadi layu dan sebu. Terdapat banyak genre lagu untuk dinikmati termasuk irama Malaysia, pop, hard rock dan sebagainya. Aku rasa tiada konsep tertentu untuk album ini kerana mungkin Adibah ingin membuktikan pada umum yang dia serba boleh dan bercitarasa tinggi. Nak lagu jenis yang macamana... semua ada dalam album ini. Susunan muziknya pun aku rasa memang menyentuh perasaan terutama untuk lagu slow dan popnya. Paling teruja bila ada 2-3 lagu dihasilkan oleh seorang pencipta ringtones di tempat aku bekerja. Namanya Zam tapi di album tu tertulis Reezam. Aku nak ucapkan tahniah kat dia kerana lagunya memang ada power tersendiri.
Di sebalik kelahiran album TERLALU ISTIMEWA, ramai yang tidak tahu pahit getir yang telah dilalui oleh Adibah. Umpama lilin yang membakar, dia sanggup melakukan pengorbanan. Pengorbanan yang membawa keperitan tetapi disebalik perit jerih itu ada kemanisannya. Dulu, dia sukar untuk dapat kepercayaan. Lihat sendiri mana ada syarikat rakaman yang berani untuk menanggung risiko kerugian. Dulu tu ada tapi mereka suruh Adibah kuruskan badannya dulu. Sedangkan Adibah senang dengan bentuk fizikalnya kini. Hingga satu masa, Adibah terpaksa melaburkan duit dari kantung sendiri sebanyak Rm130,000 untuk penghasilan album ini. Kemudian, berjaya memujuk The Store untuk memasarkan albumnya. Dan hasilnya memang berbaloi dan aku harap pintu karier Adibah makin terbuka luas di masa mendatang.
Untuk kolum esok pagi, aku akan cerita sedikit pasal sebuah music video TERLALU ISTIMEWA yang menyentuh perasaan aku. Muzik video tersebut disiarkan secara ekslusif di muzikdiria pada Selasa (20 Sept) yang lalu.