Kategori: Teater Muzikal
Tarikh: 27 Mei - 5 Jun 2005
Masa: 8.30 malam
Tempat: Istana Budaya, Kuala Lumpur
Arahan: Ahmad Tarmimi Siregar
Karya Asal: Samoza
Konduktor dan gubahan Muzik: Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah)
Pengarah Tari: Zulhaila Siregar
Pengarah Artistik: Sabri Buang
Pelakon: Maizurah Hamzah, Syafinaz Selamat, Yalal Chin, Ali Osman, Rahimah Rahim, Azizah Mahzan, Ahmad Idham, Adi putra, Amandus Paul, Razah Ahmad, Aqasha dan ramai lagi.
ISTIMEWANYA RUBIAH Semalam (25 Mei), saya berkesempatan untuk menonton pra tonton sekaligus menjadikannya raptai penuh (full reheasal) Teater 'Rubiah' bagi tontonan media, para penaja dan juga para dermawan. Dewan hampir penuh dengan para hadirin yang sememangnya bertuah kerana dapat menonton pada malam pertama.
Sebenarnya naskah teater ini pernah dipersembahkan 6 tahun yang lalu. Dengan inisiatif dan usaha yang berterusan dan tidak mengenal lelah dari kerjasama semua tenaga produksi, pentas RUBIAH berjaya diangkat semula bagi mengembalikan nostalgia tersebut. Menurut pengarah Ahmad Tarmimi, beliau mengatakan pelbagai onak dan duri telah dirempuh dalam kesukaran melahirkan RUBIAH. Sesuatu yang bukan senang untuk dicapai kerana penerbitan sesebuah teater besar memerlukan komitmen yang tidak berbelah bagi serta kos yang besar.
Bagi saya, RUBIAH menonjolkan nilai murni masyarakat Melayu yang penuh adat dan tatasusila orang dulu-dulu. Bahasa yang digunakan sudah tentu berbunga-bunga pantun dan pastinya me'lentok'kan gadis 'ayu' di sebelah saya. Kemelut masyarakat dan perbedaan darjat dan rupa dikupas secara beralas dengan skrip yang bernas hebat dan penuh dengan pantun serta bahasa perlambangan.
Untuk menjadikan ianya lebih gah, lagu-lagu dicipta khusus dengan mutu muzik yang sememangnya akan mendapat pujian ramai. Elemen tradisional seperti gamelan, seruling, kompang dan biola disatukan dengan muzik semasa seperti orkestra.
Antara lagu yang menarik perhatian saya ialah lagu 'Kudus Sinarmu' (nyanyian asal Siti Nurhaliza) tetapi liriknya diubah suai untuk memenuhi jalan penceritaan memang menimbulkan kesyahduan. Maklum sajalah, saya dari dahulu lagi memang meminati gaya muzik tradisional Pak Ngah kita ni. Diikuti dengan tarian yang mengabungkan ciri-ciri kemelayuan dan kontemporari memang dinamik dan mengasyikkan. Pentas tampak begitu meriah dengan jumlah pelakon dan penari yang ramai.
Mungkin kerana nama pun raptai penuh, jadi persembahan memang tidak dapat lari dari kecacatan yang tempang di sana sini. Dengan suara pelakon tidak kedengaran jelas, prop yang jatuh, bunyi-bunyian yang menganggu di belakang pentas yang tidak ingin kita dengar, pelakon yang lupa timing dan ada juga yang ingat-ingat lupa tentang skrip. Itu sememangnya dah biasa. Tapi rasa saya kecacatan itu tidak akan berulang untuk pementasan sebenar yang bermula 27 Mei nanti.

Adegan paling menarik bagi saya ialah ketika Rubiah bermimpi dibawa ke alam syurgawi dimana beliau dipertemukan oleh lelaki misteri. Ianya tampak menarik dan 'cute' dengan penampilan kanak-kanak kecil yang comel dan manja. Dengan kostum serba putih dan ditambah dengan kepulan asap menjadikan ianya benar-benar seperti di alam tersebut.
Kewibawaan pelakon-pelakonnya memang tidak dapat disangkal kehebatan mereka kerana kesemuanya memang ada nama yang kuat dalam lakon layar. Mungkin penampilan khas Ahmad Idham, Aqasha dan Rahimah Rahim yang jarang kita lihat dipentas teater menjadi penghias seri panggung yang menarik peminat mereka untuk ke IB.
SINOPSISKisah Rubiah ini digarap berdasarkan sebuah lagenda "Keramat Anak Dara" yang berasal dari sebuah daerah terpencil di Kuala Selangor dalam tahun 1800. Berlatarkan perkampungan kecil yang dihuni oleh penduduknya yang saling bekerjasama, bersatu padu dan aman damai.
Di kampung itu, maka lahirlah seorang anak yang diberi nama Rubiah dalam seribu kepayahan ibunya mengandung dan melahirkannya. Menjelang muda remaja, Rubiah seorang wanita yang cantik serta memiliki suara yang sungguh merdu. Dia bukan sahaja diminati oleh semua jejaka kampung malah dia digeruni dek karisma yang terpancar pada wajahnya.
Dia juga seorang yang mementngkan adat dan warak, sentiasa menghafaz kitab Al-Quran. Selain itu Rubiah menjadi guru agama di kampungnya dan tidak hairanlah beliau sangat disayangi dan dihormati ramai. Rubiah mempunyai kelebihan bertutur dengan haiwan seperti burung dan ikan. Selain itu, dia juga mempunyai pengetahuan istimewa mengenai dunia spiritual dan alam ghaib.
Kecantikan wajah dan kemerduan suaranya menarik minat ramai pemuda termasuk Alang (dilakonkan oleh Ahmad Idham), yang sanggup berhijrah ke bandar mencari rezeki untuk mengahwininya. Pada masa yang sama, Daeng, seorang kaya dari kampung berdekatan juga merisik dan mahu meminangnya.
Ibu Rubiah, seorang materialistik, telah mendapat sokongan penuh orang kampung agar Rubiah dikahwinkan dengan Daeng yang telah banyak menghulurkan wang ringgit membantu orang kampung di kala kesusahan. Keputusan ini ditentang keras oleh ibu Alang (Azizah Mahzan) yang mahukan Rubiah sebagai menantunya sehingga memburukkan hubungan kejiranan di kampung itu.
Selain tersepit dalam dilema lamaran Daeng dan cinta Alang, Rubiah turut dikunjungi oleh lelaki misteri yang sering muncul dalam mimpi-mimpinya yang turut mencintai Rubiah. Hanya satu jalan penyelesaian buat Rubiah dalam meleraikan kekusutan yang dihadapinya iaitu memohon pertolongan dari Allah.
Menurut lagenda, pada hari pertunangannya ketika cincin hendak disarungkan ke jari manis Rubiah, Rubiah tiba-tiba lesap dari pandangan. Bermula dari saat itulah kisah Rubiah dikenali sebagai "Keramat Anak Dara".
Kepada anda yang ingin ke sana, jangan lupa membawa tisu lebih kerana pihak IB tidak menyediakan tisu untuk menyapu airmata anda.
Untuk penempahan tiket, para pembaca boleh menghubungi Istana Budaya di talian 03-40265533 / 40265532. Tiket berharga antara RM 35 - RM 155.
KLIK DI SINI UNTUK MELIHAT FOTO-FOTO 'RUBIAH' YANG SEMPAT DIAMBIL.