INTRO: SULIT UNTUK DAPAT SAMBUTAN?Untuk melengkapkan lagi koleksi tontonan pada bulan ini, saya ke Auditorium MTC (Pusat Penerangan Pelancongan), Jalan Ampang dimana teater BENDA SULIT dipertontonkan kepada umum. Malam ini (23 Mei) adalah malam yang pertama teater karya dan arahan Khalid Salleh ini dipentaskan. Maka, mungkin kerana itu sambutan tidaklah begitu menggalakkan. Ditambah pula dengan hari bekerja, mungkin kesuntukan masa menjadikan banyak kerusi tidak berpenghuni, kosong tidak diduduki.
BENDA SULIT bukanlah teater lucah sebagaimana tajuknya yang hanya menggunakan 'benda' sebagai satu alat yang menjadi simbolik kepada perkara-perkara di dalam kelambu yang sedia kelabu. Atau dengan kata lain, mungkin ramai antara kita yang tidak faham bahawa benda sulit itu adalah jiwa diri kita sendiri. Setiap kita ada 'benda sulit' untuk diceritakan dan dihebohkan kepada orang. Nescaya, apabila diketahui orang, pasti akan tebal muka menanggung malu. Kekadang kerana diri kita sendiri yang menyulitkan keadaan. Satu skop yang boleh dijadikan satu topik menarik untuk dibincangkan.
Namun dalam kontek kita orang Melayu yang memang 'taboo' atau 'elergik' untuk berbicara pasal perkara ini memang mengundang pemahaman bahawa benda sulit ini sesuatu yang lucah. Sesuatu yang menjijikkan dan kalau diketahui oleh orang pasti maruah diri tergadai dan hancur menjadi debu berselerakan.
PROP DAN ELEMEN WATAKHanya menggunakan prop yang ringkas. Dua buah bangku panjang, empat pasu bunga, papan tanda 'TANDAS AWAM' dan dua longgok sampah sarap. Berlatar belakangkan suasana di Dataran Merdeka menjadikan drama sebabak ini seperti suasana realiti sebenar yang memaparkan sekelumit kisah masyarakat.
Elemen biadab atau 'babil', tidak mendengar kata orang dan keras kepala diterapkan dalam teater ini secara jujur oleh Khalid Salleh. Manusia seperti ini menganggap diri mereka sahaja yang betul dan orang lain salah. Namun, kadangkala saya bosan dan 'tulik telinga' kerana skripnya terlalu sarat dengan perbahasan ditambah lagi dengan adegan bertegang urat. Mungkin pengarah mengambil pendekatan untuk menjadikan teater ini bising dengan perdebatan.
Bermula dengan watak dua orang siswi hinggalah kepada watak dua orang tukang sapu, mereka tak sudah-sudah berbalah sesama sendiri untuk menunjukkan ketidak puasan antara satu sama lain. Mempertahankan pendirian juga falsafah masing-masing. Pentas menjadi kalut namun adakalanya 'timing' tersusun dengan paduan watak Untung Musafir.
Saya memuji Sani Sudin yang berjaya membawa watak orang sewel ini walaupun kita sedia maklum yang memang Sani mempunyai pakej untuk watak tersebut. Dengan badannya yang kurus, wajah yang cengkung dan rambut setahun tak berbasuh memang menjadi lakonan Sani. Lakonannya bersahaja dan cukup berkesan ke hati penonton.
Pementasan selama lima malam ini menampilkan lima pelakon termasuk Sani Sudin sebagai Untung Musafir, satu-satunya pemain lelaki di samping empat orang wanita. Dua daripadanya membawa watak siswi dari salah sebuah IPTA di Kuala Lumpur yang dipegang oleh Farahaini Hj Lugiman dan Norazura binti Abu Samah. Dua lagi watak sebagai tukang sapu yang dilakonkan oleh Nuraini Idris dan Istina Bte Mohd Jafri.
SINOPSIS BENDA SULITBenda Sulit sebenarnya merungkai kisah dua orang siswi yang bernama Mona dan Sally yang mulanya melabuhkan punggung disalah sebuah bangku panjang di sebuah taman. Disitu terdapat seorang musafir terbaring lesu di sebuah bangku berhampiran. Mona terkejut dan tersentak apabila merasakan ada sesuatu batang setongkol yang keras menjulur panjang. Di mana kedengaran skrip pada intronya juga sudah bernafas kelucahan. Maka, mereka pun terlompat-lompat kerana terkejut sambil menghamburkan beberapa carutan kecil untuk beberapa saat.
Kemudian, Untung (musafir) terkejut dan terjaga dari tidur dalam keadaan yang terpinga-pinga melihat kedua siswi tadi. Lalu, keadaan musafir tadi yang tak terurus merisaukan Mona dan Sally dan terus meninggalkan tempat tersebut. Sepeninggalan mereka berdua, Untung sempat mengambil makanan ringan yang mereka tinggal di atas bangku. Dengan keadaan gelojoh seperti setahun tidak makan, Untung menikmati isi yang sudah dibuka itu.
Tak sampai seminit, Mona dan Sally muncul kembali ke tempat tersebut dan kelihatan mencari-cari sesuatu. Ada sesuatu yang mungkin tertinggal di situ. Untung yang melihat mereka yang tengah resah mencari itu terus merasakan mereka mencari bungkusan makanan ringan yang dipegangnya. Lalu, Untung meletakkan semula di atas bangku. Namun, Mona dan Sally masih mencari sesuatu disekitar kawasan itu. Untung masih tertanya-tanya pelik.
Kemudian, muncul Salamah (pekerja Alam Bersih sebagai ganti Alam Flora) mula ingin tahu dan cuba membantu tapi akhirnya jadi satu pertengkaran dan mengakibatkan Salamah tertewas oleh Sally yang memiliki sedikit ilmu dalam taekwando. Salamah berlalu dan kemudian muncul semula bersama seorang kawannya, Lijah. Lijah lah orang yang memiliki 'benda' yang dicari oleh Mona dan Sally iaitu sekeping gambar bogel Sally yang dijumpainya di dalam mangkuk tandas.
Salamah dan Lijah mengambil kesempatan untuk menggunakan gambar itu untuk memeras ugut dan mendapatkan wang dari Sally dengan mengugut akan melaporkan kepada polis. Sebenarnya, Sally merupakan mangsa kepada seorang lelaki yang memasang kamera intip di bilik mandinya dan memeras ugut untuk menyebarkan gambar itu kepada orang ramai tapi ianya terlepas ke tangan orang lain. Sebenarnya ini memang benar terjadi dalam masyarakat kita. Akhirnya, gambar itu terlepas ke tangan Untung dan ini tidak diketahui oleh mereka berempat.
PENUTUP: MOTIF DAN MANIFESTASIMotif penceritaan adalah berdasarkan tentang niat buruk manusia yang sering mengambil kesempatan dari kecelakaan orang lain. Manusia perlu diajar bagaimana untuk lebih berhati-hati dalam meniti hari mereka dan mengambil pengajaran dari setiap kejadian yang telah berlaku. Ini supaya ianya tidak terjadi kepada diri sendiri kelak. Dimana kecuaian atau kelalaian sesaat boleh memberi kecelakaan dan penyesalan sepanjang hayat.
Nilai kesopanan dan ketelusan dalam skrip teater ini tidaklah terlampau gah sangat. Ada rahsia yang mahu disembunyikan dan kerana rahsia itu saya tidak nampak apa yang sebenarnya yang ingin dikupas. Cuma dalam penggunaan bahasa, mungkin boleh saya katakan lebih memecah tembok kebiasaan dimana ada perkataan yang tak bertapis.
Namun, Khalid Salleh pandai bermain dengan bahasa untuk menutupi kelucahan secara berhemah. Contohnya ketika Sally mengatakan beliau dapat menerima semua perkara dengan katanya: "Aku ni semuanya boleh. Aku memang flexible... panjang boleh, pendek pun boleh, asal jangan terlalu emotional sudah!
Dari BENDA SULIT, kita akan mengerti bagaimana manusia mempermainkan maruah diri orang yang melakukan kesilapan atau kejahatan. Bagaimana kita lihat manusia yang sedar tentang kesilapannya itu akan mempertahankan maruah dari terus ditindas.
Orang yang tidak mengerti cuma hanya dapat melihat dan bersorak riang apabila mangsa diheret seperti anjing kurap ke gerbang mahkamah. Manifestasi ini sudah tentu selalunya melibatkan perempuan kerana mereka adalah kaum yang selalu kena tindas dan sering diperalatkan sebagai bahan pelaris atau dagangan.
P/S: Nantikan persembahan dari Pertubuhan Teater Sanggar Karya akan datang iaitu TEATER WALINONG SARI.