BANGSAT, AKU HAMPIR BASAH KERNANYA!Pulang dari Majlis Penyerahan Hadiah untuk semua Pemenang Anugerah Berita Harian Jumaat lepas, saya sempat mencuri masa untuk ke Panggung Bandaraya untuk menyaksikan sebuah teater monodrama 'BANGSAT'. Walau baju hampir basah di sirami renyai hujan di senja itu, tapi hati masih bisa bertahan. Apa yang menarik saya untuk ke sana bukannya pelakonnya nan satu itu tetapi adalah kerana teater ini diarahkan oleh Khalid Salleh, seorang pengarah yang kaya dengan idea yang luar biasa yang menyelongkar rahsia 'daerah hitam' orang kita yang pahit kelat untuk dibincangkan!
Monodrama bermakna sebuah persembahan drama teater yang menggunakan seorang pelakon sahaja yang kita lebih dikenali dengan 'pemain'. Sesuai dengan lagak gaya dan juga pergerakan yang dimainkannya itu mempunyai kisah yang tersendiri. Saya tabik spring dengan pemainnya iaitu Maizatul Akma yang berjaya bertahan dengan suaranya yang hampir serak melakonkan watak Salwa selama 90 minit di pentas. Begitu bertenaga dan bukan calang-calang orang boleh buat begitu.
Beliau pandai membawa ekspresi wajah yang pelbagai dalam masa yang singkat. Dari sedih kepada lebih sedih dan kembali jernih dan gembira. Kefahaman saya pada teater ini bergantung sepenuhnya pada gerakan pemain. Terlalu kerap pemain mengelilingi pentas (semacam mahu tawaf pun ada) dan ini memang sengaja diadakan untuk memberi 'pause' kepada beliau. Begitu juga dengan tarian seksi yang menggoda dan juga acara meditasi yang saya rasa hanya membuang masa si penonton.
MENGAPA PERLU BANGSAT?Perkataan atau konotasi 'Bangsat' sering kita dengar dalam drama bangsawan dulu kala. Dan kini memang dianggap satu perkataan yang hodoh dan jalang untuk diucapkan. Di pentas ini perkataan itu diulang-ulang oleh pemain untuk mengambarkan kemarahan kepada orang yang selama ini dianggap perosak kepada kehidupannya.
Namun, berlainan pula dengan pendapat Khalid Salleh yang menganggap teater ini sendiri memang sebuah karya yang bangsat! Bukan hanya bangsat dari struktur pembinaannya, malah ia juga dibangsatkan oleh peraturan yang tidak mengenali kenapa teater harus wujud dalam kehidupan manusia. Teater tidak popular di kalangan masyarakat sebagai wadah ilmu kerana manusia lebih inginkan sorak sorai dalam kehidupannya dari memikirkan tentang erti kehidupan dan kematian.
Beliau seolah ingin melontarkan rahsia marahnya kepada realiti masyarakat kita yang memandang negatif pada kewujudan teater. Seterusnya menilai tingkat keupayaan sebagai manusia yang diamanahkan supaya mati dengan redha dan diredhai oleh Yang Maha Esa yang menjadikan setiap kejadian.
Bagi pengarah, Bangsat sekadar sebuah ungkapan 'manis' untuk mereka yang pernah menjadi bangsat. Setidak-tidaknya kita tahu bahawa bangsat adalah lambang kemiskinan harga diri manusia yang selalu hipokrit dalam membanggakan diri atau berasa lebih unggul dari orang lain.
LATAR SIMBOLIKWalaupun hanya dibantu oleh dua orang penari yang hanya muncul sekali sahaja di pentas, namun pemain mempunyai peranan yang amat penting. Boleh dikatakan 95% pementasan berdasarkan apa yang dilakonkan oleh pemain. Kalau orang yang tidak memahami bahasa teater memang akan merasa jemu kerana asyik memandang seorang watak beraksi di pentas. Kebanyakan penonton diam membatu dan ada juga ada yang ketawa kecil melihat gelagat pemain yang macam orang gila.
Dengan tatarias latar pentas yang ringkas dengan tirai hitam yang dipisahkan dengan sehelai kain putih memang nampak simbolik. Ianya menceritakan kisah yang penuh dengan kegelapan dan ditengah-tengah kegelapan itu, sebenarnya ada jalur sinar putih terang yang menghubungkan pintu kebahagiaan. Maka, terserah pada insan untuk keluar dari pintu kesengsaraan yang selama ini menjerat diri.
SINOPSIS 'BANGSAT'Salwa adalah seorang gadis yang begitu naif dan kini dihimpit trauma. Salwa yang dulunya bekas pelajar Pengajian Ilmu Kemanusiaan (kalau di UIA, ianya lebih dikenali sebagai Human Sciences) teraniya dan teruji oleh hukum alam sebenarnya. Sepanjang pengajiannya di universiti, Salwa telah menempuhi satu kehidupan yang penuh dengan likuan. Keadaannya yang kesempitan wang dan kemiskinan keluarganya begitu menghimpit jiwa naluri wanitanya.
Namun, dia cukup optimistik berbekalkan semangat yang tidak pernah luntur, dia terus menongkah arus. Cita-citanya cukup tinggi hingga ke awan biru untuk menggali ilmu sebanyak mungkin. Kalau boleh hingga bergelar doktor dan seterusnya profesor. Namun, langit yang cerah yang diharapkan rupanya mendung yang datang. Segala cita-citanya hancur musnah kerana nafsu rakus seorang lelaki.
Kehadiran seorang lelaki ketika Salwa amat memerlukan memang awalnya dianggap sebagai penyelamat. Lelaki tersebut begitu petah menabur janji manis semata-mata ingin memerangkap Salwa semata-mata memiliki batang tubuhnya. Maka, Salwa yang mentah dan keinginan yang kuat untuk memiliki pencapaian tertinggi Salwa terjerat dengan kata-kata manis lelaki yang bertopengkan syaitan ini.
Ketika Salwa memohon bantuan kewangan untuk menduduki peperiksaan, lelaki tersebut telah membentak dan mengugut akan menulis surat menceritakan kepada dekan sekolah segala yang berlaku termasuk membuang kandungan di Thailand. Akhirnya Salwa ditinggalkan begitu saja setelah gagal menduduki peperiksaan.
Semua kepahitan dan kesengsaraan itulah yang menjadikan Salwa dilanda trauma. Terkurung di dalam rumah, didatangi oleh makhluk misteri yang menganggu dan bercakap serta bertanya berulangkali seperti seorang gila!
Dalam keadaan begitu, muncul seorang lelaki lain yang datang dari 'dunia lain'. Lelaki itulah yang menyelamatkan Salwa dari trauma berterusan. Dia sering menasihatkan bahawa Allah adalah Tuhan yang Maha Pengampun, Maha Penyayang dan Maha Pengasih. Ketika Salwa mulai yakin kembali kepada kehidupannya. Maka lahirlah rasa cinta di hati Salwa kepada lelaki penyelamat ini. Namun, lelaki ini secara diam-diam pula menghilangkan dirinya tanpa sebarang sebab dan alasan. Maka, tinggallah Salwa berdiri dengan kekuatan hidupnya melalui meditasi selain ilmu bela diri dan menelaah inti falsafah yang terdapat dalam al Quran.
KELAINAN BANGSATSaya membuat satu perlambangan bahawa pementasan ini seperti air yang menghanyutkan sebatang kayu di sebuah sungai yang dalam airnya. Bila air yang deras dan terkadang perlahan itu ke tepi, kayu itu turut ke tepi. Kadangkala kayu itu tenggelam dan kembali timbul. Begitu juga penonton dibawa menjelajah satu dunia falsafah hidup yang memang menjadi agenda utama pengarah Khalid Salleh. Kekadang penonton diajak untuk menyelami perasaan orang yang sedang dilanda trauma. Saya rasa ramai penonton yang tidak faham cerita ini kalau tidak fokus betul-betul.
Penceritaannya cukup berkesan dengan elemen-elemen yang penuh simbol dan objek. Kedua-dua itu lahir dari bunyi-bunyian yang menganggu Salwa. Permulaannya, ditengah-tengah Salwa berlatih taekwando, ada suara-suara cicak yang datang. Kononnya pada Salwa cicak ini adalah orang yang datang ingin mengambil hatinya. Kemudian, datang lagi suara gendang, suara dari radio yang menyanyikan lagu evergreen 'Selamat Tinggal Pujaan' dan akhir sekali suara orang azan. Prasangka yang datang bertimpa dalam hatinya mengandaikan bahawa suara itu datang mahu merosakkan dan mempengaruhi jua menggoda jiwanya yang dalam sesi pemulihan.
Di dalam gangguan itulah, pemain menceritakan falsafah-falsafah kehidupan yang jarang dibincangkan. Maka, keluarlah falsafah yang dikutip dari cerita dalam sirah Nabi; seekor cicak dan sang labah-labah yang menyelamatkan Nabi Muhammad s.a.w dari dibunuh. Timbul juga cerita perempuan pelacur jalang yang masuk syurga kerana memberi secangkir air kepada seekor anjing yang sedang dahaga.
Ternyata Khalid Salleh memberikan impak yang bukan sedikit pada skrip yang beliau hasilkan. Semestinya dengan kajian yang mendalam tentang falsafah yang terkandung dalam kitab suci al-Quran. Semoga mesej yang ingin dibincangkan memang sampai ke minda penonton.
Nilai kekuatan atau jatidiri manusia harus berasaskan kebenaran insaniah, di mana akal budi memerlukan asuhan yang berasaskan nilai-nilai sebenar kenapa agama diperlukan dalam kehidupan manusia.
Takrif agama itu sendiri harus difahami dan dimengertikan supaya apa yang dilakukan oleh seseorang memberi manfaat atau kebaikan terhadap diri dan masyarakat sekeliling.
Bangsat tidak bermakna kotor atau lucah. Bangsat membawa pengertian miskin lingkungan pemikiran dan memerlukan perjalanan jauh (mengembara) untuk meluaskan pandangan serta akal budi kemanusiaan.
PENUTUP: TUNGGU BENDA SULIT
Selepas BANGSAT, satu lagi 'masterpiece buah tangan' dari pengarah yang sama akan dipentaskan di MTC pada 23-27 Mei ini. Judulnya (BENDA SULIT) pun sudah menarik saya ke sana sebab saya memang suka dengan cerita yang sebegini. Telus, tulus, bernas dan sarat dengan mesej yang dapat memberikan ilmu walaupun menyentuh perkara seksual yang menghairahkan!
Kekadang benda ini (seksualiti) memang dianggap taboo oleh masyarakat kita dan malu untuk dibincangkan dikhalayak ramai. Tapi sampai bila minda orang Melayu akan ditutup oleh mega hipokrit? Kerana realitinya, mereka tiap-tiap hari bermain dengan 'benda' itu. Bukankah 'benda sulit' itu separuh dari hidup kita dan wajar ceritanya dipersembahkan dalam gaya yang lembut dan sopan. Akhir kata, saya mengucapkan tahniah kepada Khalid Salleh kerana berjaya membawa dua karya ke dua pentas dalam masa satu bulan!
sumber: Pertubuhan Teater Sanggar Karya Kuala Lumpur