INTRO: BUKAN MUDAH MELAKAR SEJARAHApa perasaan anda apabila dapat melihat dengan mata kepala anda sendiri sebutir permata negara berbangsa Melayu berdiri dengan kemilaunya di pentas antarabangsa? Bangga dan excited? Ya, itu yang dapat saya rasakan ketika pertama kali menjejakkan kaki ke Royal Albert Hall, London tanggal 1 April lalu. Apa tidak bangganya, nama gadis sunti yang Tak Mati Dek Keji Tak Hidup Dek Puji ini akan disemat bersama-sama lebih 150,000 penghibur ternama dunia yang pernah mengadakan persembahan di dewan berusia 134 tahun itu. Bukan perkara yang enteng untuk direncana dan bukan semudah ABC laluannya.
Sudah tentu pelbagai onak dan duri yang tajam menusuk perlu ditempuhi. Pertama, mereka berdepan dengan masalah untuk meyakinkan orang asing tentang bakat orang kita. Bukan mudah untuk membuka mata hijau dan coklat mereka luas-luas, melihat hakiki, merasa sendiri dan menyentuh bersama hati murni tentang hasil produk muzik bangsa kita. Kebanyakan orang asing memandang rendah dengan sebelah mata mereka yang sudah lama buta dan terlalu skeptikal dengan mutu pencapaian orang Asia yang menyala.
Bagi mereka kita masih terkebelakang dan mundur dalam seni muzik. Tak gah seperti mereka yang kononnya menguasai majoriti rentak revolusi muzik terkini. Keduanya, tahap kerenah birokrasi yang terlampau diamalkan orang luar membuatkan kita takkan kemana kalau sepanjang masa kita dianak-tirikan begini. Seterusnya, apakah kita mesti menyerah kalah, mengangkat bendera putih serta tunduk dengan hati merintih, sedangkan cara dan resolusi tidak dipilih untuk terus menyakini dan mendepani pelbagai isu tersebut?
Lihat sendiri apa yang sudah terjadi selepas konsert. Ironinya, pihak RAH telah mengaku yang promosi untuk konsert ini tidak dibuat secara besar-besaran. Mengapa pula begitu? Dan sebenarnya inilah faktor utama terdapatnya lubang-lubang kosong dalam dewan! Bukan nak salahkan mereka juga. Sebaliknya, Kita perlu hargai apa yang mereka buat tetapi caranya tidak relevan pada kaca mata saya. Setelah yakin dengan kebolehan Siti barulah mereka berjanji mahu bekerjasama sepenuhnya dan ingin menjemput Siti lagi untuk terus beraksi di RAH di masa akan datang.
Sesuatu yang menjengkelkan walaupun tawaran itu dilafazkan sesudah mereka melihat sendiri bahana aura siapa Siti yang sebenarnya. Padahal mereka patut meneliti profil yang ada pada Siti sedalam-dalamnya. Bukannya meminggirkan ke tahap double standard atau sekadar melepaskan batuk di tangga dengan memandang sebelah mata dalam merangka promosi yang tidak adil, berat sebelah dan walhasilnya memanglah tersangat kureng.
TITIK TOLAK KE PENTAS ANTARABANGSA?Ibarat mimpi menjadi satu realiti dan impian menjadi kenyataan yang pasti, Siti telah melakar satu kemanisan dalam sejarah kariernya sebagai orang Melayu pertama beraksi secara solo di Royal Albert Hall. Saya sebagai peminat setianya memang bangga dengan pencapaian anak gadis Siti Salmah Bachik ini. Jutaan tahniah tidak putus-putus sehingga kini dilayangkan kepada gadis 26 tahun ini. Lebih manis lagi, tanggal 1 April ini merupakan ulangtahun ke-10 karier seninya bertapak bermula tahun 1995 dalam usianya 16 tahun.
Diharapkan titik kejayaan Siti ini menjadi pendorong dan sumber inspirasi buat semua rakan artis yang lain untuk mencipta nama di gerbang antarabangsa. Berat lagi mata melihat, berat lagi bahu yang memikulnya. Siti bukan sahaja mengendong tanggungjawab mewakili Malaysia malah menjinjing budaya bangsa kita yang penuh hemah dan kesantunan. Ini akan meninggikan lagi tahap artistik penyanyi ini yang akan setanding dengan penyanyi antarabangsa yang lain.
Pada golongan artis, jauhilah sifat cemburu dan hentikanlah niat untuk menjatuhkan orang yang membawa nama baik negara. Malah anda patut tanya diri anda sendiri sejauh mana anda telah menjunjung nama negara ke merju jaya dan dapat mengikut jejak langkah penyanyi berwawasan ini.
Pada golongan yang anti Siti, saya tidak mahu bercakap apa-apa. Terserah kepada anda untuk menilik dan menilai. Sebagaimana kata Siti kepada peminatnya dalam dewan RAH bahawa kita tidak usah peduli kata caci maki orang yang tidak suka kepada kita. Malah benda tu semua tidak menjadi kudis sedikit pun bagi kita.
Bukan itu sahaja, Siti melakar satu sejarah dalam perkembangan seni suara tanahair. Beliau menjadi artis ketiga Asia yang beraksi di dewan itu selepas dua artis tersohor dunia iaitu pemain sitar terkenal Ravi Shankar dan Lata Mangheskar dari India yang berpeluang beraksi di pentas yang sama.
TANGGAL KERAMAT 1 APRILSaya bertolak dari Hotel Kensington Close bersama rombongan dari peminat fanatik Siti pada jam 6.00 petang. Lewat setengah jam dari apa yang dijadualkan. Ingatkan jauh sangat tempatnya tetapi tidak sampai 15 minit, bas berhenti di persimpangan jalan yang bersebelahan dengan Hyde Park. Di hadapan taman tersebut, tersergam indah sebuah bangunan yang amat sinonim dengan penghibur-penghibur popular dunia mengadakan persembahan. "Ooo.. inilah RAH yang dimaksudkan? Wow... cantiknya...." Saya memang orang kampung yang selalu terlopong melihat halusnya seni buatan bangunan bulat ini.
Pada waktu itu, ada peminat yang sudah mula masuk ke dalam dewan. Tak sabar barangkali. Tidak kurang pula ada yang bersembang-sembang sambil menanti kelibat selebriti yang mungkin hadir. Ada yang ambil kesempatan menegur dan bergambar dengan Anuar Zain dan Chef Wan yang kebetulan berada di luar dewan.
Tidak kurang pula ada yang sengaja mencuri waktu seperti saya untuk memerhatikan suasana sekitar yang bagaikan satu pesta orang-orang Melayu berkumpul. Rasanya seperti berada di Kuala Lumpur pun ada. Atau adakah 'mat Salleh' sudah pupus di Kota London waktu itu? Memang betul tidak dapat disangkal lagi kebanyakkan yang membeli tiket adalah terdiri di kalangan orang kita yang menetap di sana. Khabarnya, ada pelajar kita yang menuntut di sekitar pinggiran pedalaman seperti New Castle, Cardiff, Birmingham, Manchester dan juga Holland sanggup datang.
Tidak ramai 'Mat Salleh' yang datang mungkin kerana kurang promosi atau mereka tidak punya selera sama dengan kita. Yelah, kita makan apa, dia lak makan apa... kita makan nasi, dia pula makan hamburger. Mungkin nisbah mat salleh dalam 30 peratus dan selebihnya adalah terdiri dari orang kita. Saya cuma buat andaian sendiri je.
Sebelum masuk ke dalam dewan, beg diperiksa bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Namun, mengikut prosedur yang saya tahu, penonton dilarang membawa kamera ke dalam dewan. Namun, apa yang saya lihat pihak sekuriti tidak merampas kamera yang dibawa. Apalagi, ramai yang rasa lega. Ada juga yang rasa rugi kerana kamera tidak dibawa. Ketika melalui satu lorong, saya terserempak dengan Siti Saerah, emak dan ayah Siti bersama jemputan lain yang saya tidak kenali. Mungkin saudara mara atau kaum kerabatnya barangkali. Sambil bergelak ketawa, mereka nampak berbual-bual kosong dan wajah mereka nampak selamba. Gembira dan ceria saje.

Hiasan dalaman dewan memang nampak betul-betul cantik dengan seni bina yang memang unik. Apa yang saya tahu ianya beberapa kali juga diubah suai dan dibuat 'renovation'. Mendongak sahaja ke atas, kelihatan silingnya berwarna biru dan berukiran sekata seperti payung. Terdapat bulatan-bulatan sfera yang bergantungan secara rawak menimbulkan suasana penuh harmoni. Dari bawah nampak seperti coklat M&M gergasi yang bakal jatuh menghempap kita lagaknya. Di atas juga digantung lampu-lampu klasik. Memang ada nampak kelas la jugak.
Dihiasi indah dengan langsir dan tirai berwarna merah di sepanjang pintu dan juga pada dinding dewan yang mempunyai 5 tingkat itu. Dewan lampu yang malap yang dipasang menjadikan suasana suram penuh romantik. Sesuai dengan ukiran yang menjadi daya tarikan utama dewan ini. Memang satu senibina yang menakjubkan juga.
FAKTOR MENGAPA DEWAN TIDAK PENUHPertamanya, orang akan kata tiket tidak laku dan tidak habis dijual sebabnya hanya 2,500 orang audien yang sudi datang. Masalah harga bukan soal pokok kerana memang standard harga RAH sebegitu mahal. (Mahal pada porang kita). Selebihnya mungkin menjadi satu tanda tanya. Namun saya difahamkan baki 500 tempat duduk lagi telah siap ditempah oleh pemegang pakej tiket semusim. Ini bermakna, bukannya tiket tidak habis dijual. Yang menjadi isunya, mungkin orang yang menempah tiket tidak dapat menghadirkan diri? Atau apakah cerita sebenarnya?
Saya mendapat tahu juga yang tiket saya diupgrade dari 40 pound (Front Circle) kepada 80 pound (Stalls). Kalau ingin disamakan dengan duit kita memang tiket di sini mahal. Anda kiralah sendiri, RM7 bersamaan dengan 1 pound. Kalau dah tiket harganya 80 pound maknanya RM560. Tetapi memang berbaloi dapat mendengar muzik yang punya hi-tech dan high class di pentas yang pernah menjadi lokasi pembikinan klip video "You're not Alone" ini.
Saya berpendapat bahawa Putrade Property Management Sdn. Bhd sebagai penganjur patut mengambil langkah drastik dan mempunyai plan B dalam memastikan tiket habis dijual. Saya berasa kurang berpuas hati tentang rangka promosi yang dibuat seerti melepaskan batuk ditangga. Apatah lagi mendapat tahu jalan terakhir untuk menghabiskan tiket dengan menaikkan taraf tiket di saat akhir di mana ia boleh menimbulkan satu isu.
Ramai yang awal-awal membeli tiket 80 pound rasa kurang selesa kerana penonton yang membeli tiket di saat akhir mendapat kenaikkan taraf tersebut. Ada yang membantah dan ada juga berdiam diri dan cemburu sebab merasakan mereka seolah ditipu. Terasa rugi kerana membeli tiket lebih awal. Kalau tiket dibeli pada saat-saat akhir mungkin dapat membawa mereka lebih dekat dengan pentas. Tapi tidak mengapalah sebab duit tersebut katanya disumbangkan sejumlahnya kepada tabung tsunami.
Keduanya, ketika rangka promosi Bersama Siti Nurhaliza di Malaysia Hall pada 30 Mac lalu pelajar dari Malaysia diberikan potongan harga sebanyak 50%. Walaupun tiket hanya terhad dan hanya dapat dibeli pada majlis itu sahaja, namun saya membayangkan tempat akan sedikit terisi. Sedikit sebanyak mungkin akan membawa kesan kepada penambahan jumlah penonton. Namun, ini tidak mengubah takdir kerana saya perhatikan dewan memang tidak sepenuh sebagaimana yang digembar gemburkan. Ianya tidak mencapai tahap yang memuaskan kerana terdapat banyak lohong-lohong kosong yang tidak diisi. Adakah jangka waktu promosi terlalu singkat? Atau mungkin tiada perancangan yang secara terperinci. Kita jugA menanti post mortem yang akan dibuat oleh pihak SNP dan PUTRADE tentang hal ini.
PENTAS DAN PENATAAN CAHAYABerbeza dengan pentas di Malaysia, dewan ini cukup dalam kesederhanaan tetapi cantik mata memandang. Tanpa prop-prop yang menyerabutkan fikiran dan kalau dibuat juga akan membuatkan pentas bertambah sempit. Pentasnya boleh disamakan sebesar pentas Istana Budaya. Tetapi Istana Budaya mempunyai keluasan dibelakangnya untuk kekemasan prop teater. Tetapi tidak dengan pentas untuk bintang dan pemuzik terkemuka ini. Ianya cukup untuk meletakkan pemuzik orkestra di tingkat atas yang mengiringi Siti di segmen kedua. Manakala, pemuzik tempatan yang mengiringi Siti di semua segmen diletakkan seperti biasa belakang pentas utama.
Yang uniknya, layar besarnya bukan jenis layar yang biasa saya lihat di pentas-pentas persembahan sebelum ini. Terletak di tengah-tengah atas pentas, memudahkan lagi penonton yang berada jauh memerhatikan dagu lekuk si gadis Kampung Awah ini. Saya pun tidak tahu samada layar itu dibuat khas untuk persembahan Siti atau memang sudah sediakala dari dulu lagi. Ianya terdiri dari beberapa potongan layar yang tidak bersambung. Berbelah-belah dan berlapis-lapis. Disusunkan dalam tiga lapis dalam kedudukan bertindan-tindan. Ianya menimbulkan kesan khas dimana layarnya seperti punya jalur-jalur dan berjuntai-juntai.
Terdapat lampu-lampu kecil yang digantung secara rawak sebagai latar belakang utama. Umpama bintang-bintang yang bertaburan dilangit yang hitam. Ianya tidak berkelip-kelip dan menyala dari awal hingga akhir acara. Cara penggunaan lampu ini seperti pentas 80 an. Ingatkah anda pentas Juara Lagu tika dulu-dulu masa zaman Sudirman dan Zaiton Sameon? Mungkin kita tak usah samakan konsepnya dengan itu. Sekadar mahu anda bayangkan sahaja. Namun, ianya memang nampak 'retro-klasik' sesuai dengan alunan muzik orkestra yang dijemput khas dari London itu. Penuh membuai syahdu gitu.
Penataan cahaya pula memang mempunyai kelas dan mutu yang tinggi. Khabar angin yang hinggap ditelinga saya kononnya lighting diselaraskan oleh orang kita sendiri. Cuma untuk sound engineer (yang diletakkan di belakang Arena) sahaja diseludup dari luar. Maka, pujian harus diberikan sekiranya betul ini adalah hasil kerja orang kita sendiri. Ini kerana tiada sedikit pun saya lihat cacat cela tentang penataan cahaya. Beberapa ketika, tata cahaya disuluh kepada bumbung bulat dewan ini.
Memandangkan pentas ini memang tidak sunyi dari persembahan setiap malam, maka penataan cahaya dan bunyi yang sepadu perlu dititik beratkan bagi tuan rumah. Boleh dikatakan pada setiap hujung minggu pentas RAH akan bergema dengan acaranya. Jadi, masalah penataan cahaya bukan masalah utama yang menjadi perhatian utama. Bagi saya, ia umpama petai dan budu penambah selera dan selebihnya menjadi faktor pokok bagi mempelbagaikan warna warni pentas dan mendodoikan hati seiring dengan ritma muzik.
BUDAYA PEMINAT Dek kerana ramai peminat yang membawa kamera, maka sebelum bermulanya konsert, dewan dipanahi cahaya flash di merata-rata tempat. Masing-masing mencuri luang untuk mengabadikan kenangan bersama rakan. Mungkin pihak RAH tahu dan afham tentang budaya orang kita yang memang excited datang dari jauh semata-mata untuk merasai pentas seprestij ini. Biarkan je le. Mereka bukannya seperti rakyat tempatan yang dah biasa datang.
Saya perhatikan masih ada tempat masih tak terisi tika melangkau jam 7 malam di mana konsert bakal bermula pada bila-bila masa sahaja. Maka, tika itu terdetik juga betapa hampanya untuk melihat dewan penuh sesak. Ada juga yang baru beransur-ansur datang mengambil tempat.
Macam-macam ragam orang kita yang dapat saya lihat. Ada yang datang siap dengan banner dan kain rentang sebagai tanda sokongan padu yang tidak berbelah-bagi. Mereka kelihatan seronok dan gembira sekali bergambar beramai-ramai. Dan ini sudah tentu mencuri tumpuan media dalam dan luar negara datang mengambil posing maut mereka.
Saya sempat melihat Ally Iskandar dan Nas Ahmad datang dan mengambil wajah mereka untuk dimuatkan dalam Melodi barangkali. Fadzley juga mundar mandir bersama pengiringnya bersebelahan tempat saya bertengek dan nampaknya ada sesuatu yang diperkatakan kepada beberapa wartawan di situ. Seperti ada masalah teknikal sahaja. Selang dua baris dari tempat saya pula, kelihatan beberapa wartawan antaranya wakil dari Berita Harian, Utusan Malaysia dan wakil TV3 Haliza Hashim yang juga turut membuat liputan.
Lima belas minit sudah berlalu namun, persembahan masih tidak lagi berlangsung. Orang Melayu yang berada di belakang saya pun sudah mula merungut. "Inilah orang Melayu kita, janji pukul 7, pukul 8 baru nak mula..." Perempuan tua disebelahnya pula menambah,"Biasalah tu janji Melayu memang tak punctual punya.. Biasanya jam 7 pun orang dah penuh dah ni..." Saya tersenyum sendirian sebab mungkin mereka menganggap dewan akan penuh padahal memang tiada penonton yang akan mengisi tempat lohong itu.
Jam 7.20 malam, pengacara Mahathir Lokman memulakan bicara dengan mempersilakan Siti Nurhaliza ke pentas. Saya difahamkan oleh pengacara berbadan gempal ini, VVIP yang turut sama menyerikan dewan adalah Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, serta isterinya, Sultanah Kalthom, dan juga isteri kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Rosmah Mansor.
P/S: Ulasan Bahagian Kedua mungkin menyentuh sedikit tentang persembahan lagu yang dinyanyikan serta fesyen yang dipakai oleh Siti pada malam tersebut. Apa yang kurang dan apa yang ter-over....