EVOLUSI DAN TRANSISI MTVAATanpa menampilkan presenter, tanpa gahnya pemenang anugerah menjulang trofi di atas pentas, tanpa lakaran grafik yang tidak sehebat tahun sebelumnya, namun apa yang pasti MTV Asia Awards 2005 punya wawasan dan mesej tersendiri yang ingin disampaikan. Di mata sesetengah pemerhati, persembahan MTVAA05 kali ini kelihatan suram, malap dan tanpa kehebatan dari tahun sebelumnya. Namun pada pendapat saya, arusnya bukan datang untuk menenggelamkan terus dan memadamkan suasana. Malah ianya menimbulkan transisi baru dalam rangka memulihkan serta memperjuangkan isu-isu kemanusiaan.
Semua itu menjadikan evolusi kepada satu majlis anugerah yang begitu peka dengan isu semasa. Setakat ini belum ada lagi majlis anugerah yang membuat perubahan sebegini sehingga sanggup menukar nama kepada MTV ASIA AID. Bukan setakat bersuka ria dengan persembahan muzik serata Asia dan barat, malah keseluruhan acara membawa segala rasa keperitan dan penderitaan mangsa untuk sama dirasai oleh semua isi hati si artis dan peminat. Bayangkan beberapa orang penghibur dari Barat sanggup turun padang melihat sendiri keadaan yang dialami oleh penduduk yang ditimpa tsunami. Contohnya, Ronan Keating sanggup terbang ke Phuket menemubual peniaga yang sedih kerana kehilangan barang berharga di samping sempat menghiburkan kanak-kanak yang yatim piatu di sana.
ASIAWOOD: IDENTITI YANG PUDAR
Industri muzik dan persembahan pentas sekitar Asia kian berkembang pesat mengikut arus. Keseluruhan saya perhatikan muzik Asia berpusat dari Barat dan kita seakan rela berkiblatkan ke arah Barat yang mempunyai identiti serta budaya yang berbeda dengan jiwa kita. Sambutan audien dan peminat yang lebih fanatik kepada muzik dari barat sebelum ini telah menjadi dorongan semangat kepada penggiat seni muzik serata Asiawood untuk mengapai wawasan yang sama.
Kecelaruan imej serta identiti dan citarasa yang bervariasi menjadikan wawasan serta gagasan untuk mencipta dunia muzik Asiawood sukar untuk disentuh. Jiwa orang Asia kini banyak dipengaruhi dan dihantui dengan gegaran muzik dari Barat. Tidak hairan apa yang saya lihat peminat-peminat muzik dari Thai juga melompat dan terjerit macam tidak kenal dunia apabila Hoobastank, Simple Plan dan Kelly Clarkson muncul memulakan persembahan.
Apa yang saya sedar cuma sekalian audien juga terpekik dan terlolong seperti diserang histeria dua kali ganda dari Hoobastank apabila Jay Chou dan Rain dipanggil untuk menghiburkan mereka. Saya sempat bertanya gadis Thai mengapa mereka minat dengan artis Hong Kong? Beliau mengatakan bahawa muzik mereka lebih hebat dan personaliti penyanyi itu juga mempengaruhi jiwa mereka. Walaupun sepatah haram mereka tidak faham bahasa Mandarin, namun orang Thai begitu tergila-gilakan artis dari sana. Sunguh mereka taksub dan terlalu fanatik!
MTVAA2005: PUNYA CERITA SUCKS!
Satu lagi yang saya perasan bahawa MTVAA sebenarnya tidak nampak Asianya. Kemana hilang Asia nya saya tidak tahu. Dari pengacara, penghibur sehinggalah kepada krew di belakang tabir boleh dikatakan 3/4 peratus dimonopoli oleh MTV Barat. Saya tidak berpuas hati dengan event yang dianggap prestij tapi segelintir orang MTV-Asia sahaja yang terlibat menjayakannya. Banyak sebab sebenarnya saya kata begitu kerana sebenarnya mereka yang dari barat bukannya bagus sangat.
Hakikatnya, apa yang anda lihat bukan siaran langsung tetapi itu hanyalah siaran tertunda. Satu perkara yang menjahanamkan majlis adalah sebenarnya kelancaran majlis taklah berjalan lancar macam korang tengok di TV. Beberapa kali Alicia Keys, hos yang seksi nak mampos malam itu dengan baju dan jeans ketat tersalah baca skrip yang sudah tertera di skrin di beberapa sudut dewan. Itu sudah menunjukkan kepada saya yang Alicia Keys tidak berapa melakukan persediaan sebelum beraksi. Gaya yang tidak cukup feel serta secara ala kadar seperti melepaskan batuk di tangga begitu membuat saya ingin termuntah di situ. Inikah yang dipanggil professionalisme orang barat yang orang asia kita agung-agungkan sangat? Beberapa kali juga persembahan Tata Young terpaksa dirakam semula kerana masalah mikrofon yang tidak berfungsi. Stupid + idiot = sucks krew!
SITI: NAMAMU KIAN TERATAS
Walaupun beberapa insiden yang mencontengkan kecacatan di MTVAA 2005 namun, ditampal dengan penampilan teristimewa dari penghibur No. 1 negara, Siti Nurhaliza. Dua tahun berturut-turut Siti diberi penghormatan untuk muncul di pentas. Penampilan pertama di MTVAA tahun lepas, beliau berkolaborasi dengan Gareth Gates dan yang jadi bedanya kali ini secara solo. Namun apa yang takjub, tepukan dan jeritan kali ini lebih kuat 'ngaumannya' kedengaran dari peminat hasil dari impak persembahan Siti Nurhaliza pada tahun lalu.
Sebelum ini, orang luar tidak jeling-jeling pada gadis 25 tahun ini tetapi tengoklah sekarang... Saya kira dia telah menjadi duta sepenuhnya bagi Malaysia. Pandang sahaja pada kelibat Siti, orang luar bilang penyanyi ini dari Malaysia. Seolah terpampam di dahi Siti bendera Malaysia. Maka, Siti... ingin ku bilang padamu... bahawa kau lah pembawa panji-panji kebanggaan negara.
Menyampaikan lagu tema fanclubnya, 'Seindah Biasa' bukan seperti 'biasa-biasa' malah cukup simbolik, dramatik dan penuh gaya seorang bintang ternama. Yang mengejutkan saya, ramai di kalangan orang Thailand yang mengenali diva kebanggaan Malaysia ini. Cuma orang kita sahaja yang dibutakan dan dipekakkan telinga untuk tidak cuba lebih menyayangi bakat gadis Kuala Lipis ini. Dengan mengayakan baju serba hitam yang dipenuhi labuci berkelipan ciptaan Michael Ong, Siti Nurhaliza seperti lazimnya kelihatan sungguh ayu dan manis di skrin besar dan berkarisma di pentas.
Mentang-mentang negara yang terkenal dengan senyuman mesra itu senang mendapatkan orkid dan ros, maka pentas juga dipenuhi dengan longgokan bunga orkid. Permulaan lagu Siti Nurhaliza berdiri di atas menara tinggi bulat seakan pentas di Konsert Tour nya di Jakarta tempohari. Semasa membawa bahagian korus, beliau perlahan-lahan menuruni tangga dan memerah vokal mantapnya di pentas bulat yang dilingkungi warna ceria orkid yang pelbagai. Tidak cukup dengan itu, pentas dilanda hujan kelopak ros yang turun bagaikan salji. Sungguh indah dilihat di kaca TV mahupun secara live.
Tepukan dan jeritan menjerit nama 'Sitiiiii.... Sitiiiii..... I luv U...' memecah suasana usah saya ceritakan di sini. Cukup gempak! Histeria ke diorang ni atau?... Khususnya peminat yang berdiri di hadapan pentas. Saya tidak tahu samada mereka orang Thailand atau Indonesia. Tapi yang pasti nama Siti bukan asing lagi di bibir mereka. Ingin sekali saya nyatakan pada Siti di sini bahawa jutaan tahniah buat anda kerana pencapaian anda setakat ini cukup membanggakan peminat anda. Terima kasih juga kerana sudi bergambar dengan poster dari blog malique. Thanks so a lot!
PENUTUP: MATINYA MUZIK KERANA....?
Bagi saya muzik adalah sejenis saluran bahasa. Dalam muzik terkandung jiwa ruhnya yang menular dalam hati si pendengarnya. Kepada yang tidak dapat merasa penularan ruh muzik itu, mana mungkin suara si penyanyi akan menyelinap masuk. Muzik ibarat sebuah gitar dengan dawai-dawai yang halus tegang dan terlalu sensitif. Disentuh sedikit akan menghasilkan bunyi yang berencah. Dari sudut semasa, muzik Asia yang kita rasa cuma digambar seperti gitar yang hilang arah bunyinya. Jiwa muziknya seakan mati kerana hilang ruh. Kemana ruhnya pergi kalau tidak ke barat. Apakah mungkin muzik budaya orang asia akan mati seperti matinya mangsa tsunami dibawa arus?
Kemelut industri muzik sekarang ini pun satu hal juga. Terlalu jauh diluar kawalan. Dengan situasi politikus yang idiot serta lembik macam pisang lunyai yang lebih gah bercakap dari buat. Juga situasi korupsi orang dalaman menjadikan lohong industri muzik disumbat-sumbat dengan tahi hidung masin. Setan-setan durjana CD pajakan (bahasa Indon untuk cetak rompak) senang-senang dilihat mencuri harta intelek pengkarya seni. Maka semua ini menyekat industri untuk terus berkembang. Dengan dilema syarikat rakaman yang lebih mengaut keuntungan dan muat turun dunia internet yang bermaharajalela menambahkan lagi kehancuran pada industri.
Penganjuran MTV Asia Awards perlu mengambil isu muzik sejagat khususnya sekitar Asia. Bukan bermati-matian menggunakan lapangan ini untuk mencipta sejarah atau ada udang disebalik batu. Keseriusan dan pemfokusan kepada kemana arah muzik asia akan dibawa dan kesatuan jiwa orang Asia akan digabungkan. Dan kita orang Asia yang berakar umbikan Asia, tidakkah merasa bodoh, dangkal, dungu, bahlul bila muzik akar budaya sendiri mati dikhalayak muzik 'bising' dari mereka yang kononnya penuh ambisi dan kesombongan!!!!