
INTRO: LUPAKAN NING YANG DULUKetika kemunculan Ning atau nama sebenarnya Ning Baizura Bte Sheikh Hamzah dalam Risik Korner di Muzik@ria, beliau ada mewarwarkan kepada peminatnya supaya datang beramai-ramai ke Angkasapuri Kuala Lumpur untuk menyaksikan Zoom-In Bersama Ning. Mulanya, saya tidak terasa begitu teruja untuk ke sana kerana sudah tentu memerlukan pass yang diedarkan oleh RTM sendiri. Namun keesokkannya, saya dihubungi oleh Sha, seorang kenalan dari Ningclix lalu dia menjemput saya ke sana bersama dengan beberapa rakannya yang lain. Mungkin atas dasar kononnya saya juga peminat setia penyanyi dari Kajang Selangor ini. Saya ni cukup pantang kalau orang ajak saya ke mana-mana, semua tempat saya ingin pergi. Jakun!
Apa yang berada di minda saya, adalah satu pengharapan pada peminat Ning yang dulu pernah membenci Ning agar kembali teguh bersama Ning. Lantaran sejuta kerenah Ning di luar batasan, ramai peminat beralih arah meninggalkan Ning. Kepada peminat Ning, lupakan Ning yang dulu kerana Ning yang kita kenali kini sudah berbeda dari yang dulu. Lupakan kontroversi Ning yang dulunya membawa awan gemawan terpilu kerana Ning kini kembali memulakan pelayaran bahtera kegemilangannya. Lupakan segala-gala berita buruk tentang Ning kerana kini yang ingin kita dengar suara Sapranonya yang kian berhantu.
Bagi Malique, Ning semakin teguh berdiri dengan imejnya yang lain dari dulu. Semoga Ning berpegang teguh dengan janjinya yang ingin kembali sesuci embun nan pagi. Ning mengaku di Muzikdiria yang dia dulu agak 'keras' dan 'sombong' dengan peminat dan tidak akan mengulanginya lagi. Ya, Ning pernah menolak permintaan peminatnya untuk bergambar di Hotel Concorde di Singapura ketika APM tahun lalu. Kesian budak pompuan tu. Boleh bayangkan camna perasaan dia masa tu. Peristiwa ini berlaku di hadapan mata saya. Ketika itu memang terdetik di hati, betapa sombongnya Ning. Tetapi apabila saya berfikir dua kali, mungkin Ning ketika itu terlalu sibuk dan tengah mengejar sesuatu sehingga terpaksa mengecewakan peminatnya dari Singapura itu.
Seawal jam 7.30 malam, perkarangan RTM sudah dipenuhi oleh peminat Ning. Rata-ratanya adalah dari Ningclix yang menjadi tulang belakang kepada kerjaya Ning. Khabarnya penubuhan Ningclix adalah penubuhan kelab peminat pertama yang berdaftar secara sah. Bermotokan 'with heart and soul', kelab yang ditubuhkan pada 12 November 2003 dikatakan lebih 4 tahun lalu begitu aktif mengatur aktiviti bersama-sama sebelum ianya dirasmikan.
Kini, Ningclix sudah berusia 1 tahun lebih dan menampakkan satu perkembangan di mana semakin ramai fanatik Ning menyertainya. Paling penting, ianya mendapat sokongan dari Ning sendiri dan juga pengurusnya, Vernon Kedit. Syabas saya ucapkan kepada semua AJK kelab ini kerana berhempas pulas menjayakan kelab peminat ini.
Sebilangan besar hadirin pada malam itu mengenakan warna tema iaitu warna pink dan purple. Warna tema ini juga saya rasa menjadi warna tema bagi laman web official Ning Baizura. Kepada yang ingin melihat video klip Awan Yang Terpilu dan Senang Tari secara eksklusif, boleh mendaftarkan diri di dalam website ini.
KONSEP PENTAS ZOOM-INSaya tidak tahu mengapa rancangan ini dinamakan Zoom-In sedangkan ianya tidak mencapai maksud di mana kami tidak 'didekatkan' sangat dengan penyanyi jemputan tersebut. Ianya tidak ubah seperti saya menonton Hiburan Minggu Ini terbitan RTM versi 'dulu-dulu'. Rasanya ramai yang tidak bersetuju dengan nama rancangan ini. Walaupun penggunaan Zoom-In agak 'canggih', namun tidak sesuai langsung dengan konsep.
Dengan pentas yang besar dan kedudukan kami yang 'jauh', mana mungkin dapat mendekatkan hadirin dengan si penyanyi. Atau mungkinkah alasan di mana tujuan rancangan ini dapat men'zoom-in'kan penonton di rumah? Persoalannya, kalau betul begitu, kemana hilangnya falsafah RTM sendiri yang kononnya ingin memartabatkan Bahasa Melayu. Saya berpendapat seeloknya nama rancangan ini ditukar kepada Bahasa Melayu yang lebih sedap dan sesuai dengan penampilan atau konsep rancangan itu sendiri.
Dari segi reka bentuk pentas, saya dapat menyaksikan sedikit pembaharuan pada pentas yang digunakan untuk rancangan Zoom-In pada musim ini. Mungkin ini adalah 'setting' untuk tahun baru 2005. Ianya kelihatan seimbang dengan prop-prop yang sekata di kiri dan kanan pentas. Di tengahnya ada dua lingkaran bulatan di mana menjadi pintu utama bagi penyanyi serta penari latar melangkah masuk ke pentas. Bertemakan warna putih, pentas boleh dikira sederhana dengan hiasan latar geometri segi empat yang diwarnai lampu hijau, kuning dan merah pada latar tersebut.
Tiga minit menghampiri jam 9 malam, Ning sudah muncul bersedia dengan terpacak di tengah pentas diiringi sorakan sebilangan kecil dari Ningclix. Saya difahamkan presiden Ningclix (Isnan) adalah antara 'penjerit' yang paling kuat. Yang menghairankan saya, setiap kali Ning muncul di pentas dan memulakan nyanyian, suara jeritan Isnan yang akan keluar dulu memecah suasana dewan. Memang sesuai sangat menjadi Presiden! Melihat pada orangnya, kita tidak menduga suara yang kuat itu datangnya dari penyokong kuat Ning ini yang berbadan genit. Tidak padan dengan suara kerana bentuk fizikalnya yang tidaklah besar mana dan dengan pakaiannya yang cukup sempoi. Tengok pada wajahnya pun macam intektual dan baik-baik sahaja.
Sebelum memulakan persembahan, Ning kelihatan agak serious dengan wajahnya menunduk ke lantai. Mungkin untuk memberi fokus atau mengambil mood pada penghayatan. Cuma sekali sekala Ning menguntumkan senyum lebarnya pada penonton. Ternyata, Ning memberi sepenuh tumpuan bagi memulakan tarinya yang 'senang' itu. Tengok pada pakaian penari dan juga langkah pertama Ning pun saya sudah dapat membaca apakah lagu pembukaannya. Tahu-tahu je yang Ning akan menyanyikan lagu Senang Tari.
Antara pemuzik yang menjayakan Zoom-In Bersama Ning adalah Hillary Ang (Gitar utama), Faizal (keyboard), Aylwin Santiago (piano), Helen Yap (pengarah muzik), Korus (penyanyi latar), Shah Slam (Bass) dan Amir (perkusi). Sepanjang satu jam setengah siaran langsung bersiaran, sebanyak 15 buah lagu telah didendangkan oleh Ning. Antaranya:-
SENANG TARINing kelihatan sungguh anggun dengan baju kurung ala-ala kebaya berwarna hitam dan biru itu. Trademarknya tidak dilupa iaitu labucci pada skirt yang penuh berkelip-kelip dipanah cahaya 'spotlight'. Renda-renda di hujung kain menjadikan gaya Ning sungguh keAraban dan elegan. Sesuai benar dengan penarinya yang serba putih dan 4 orang darinya juga memakai pakaian Arab. Rambut Ning disisip kemas ke belakang. Elegan sangat!
Tarian liuk lintuk Ning cukup menjiwai rasa lagu tersebut. Lagu ini dikatakan satu eksperimental yang mengabungkan rentak padang pasir kontemporari dengan paluan gendang. Mengingatkan saya pada lagu 'Desert Rose' dendangan Sting. Gabungan irama padang pasir dan juga sedikit elemen Perancis dan keMelayuan dipersembahkan penuh kegemersikan yang jarang kita dengar dalam lagu Ning yang sebelum ini. Ning juga menyanyikannya dengan penuh perasaan dan ada gaya yang unik sekali. Khabarnya, lagu karya Farihin Abdul Fattah dan senikata oleh Ain ini juga dijadikan sebagai lagu tema untuk filem pendek 'Pua'.
BEBASKANDengan hanya satu lagu, Ning bertukar pakaian sekali lagi. Kali ini tampil dengan seluar hitam satin lembut dan selendang yang diikat paras dada dengan dihiasi sekuntum bunga ditengahnya. Terlebih dahulu, Ning mengucapkan terima kasih pada Ningclix yang banyak memberi sokongan padanya malam itu. Apa lagi, banggalah segala kerabat ningclix. Bertepuk dan bersorak sakan diorang!
Vokal Ning cukup dengan ramuan versatlitinya. Oleh itu, lagu ini boleh dibentuk improvisasinya dengan lenggok-lengok yang serba cantik lagi menjadi. Mendayu dan penuh sentimental. Kalau orang jiwang-jiwang dengar memang meleleh orang kata. Umpama seekor burung yang terkurung di dalam sangkar, mesej lagu ini lebih membawa erti kepada tanjung pengharapan yang musnah dihempas badai pendustaan. Tugu janji yang terbina lalu pecah berderai dinodai sebuah cinta penuh kepalsuan. Ingin hidup bebas dari cengkaman kedukaan. Satu luahan hati seorang yang ditinggalkan kekasih. Setia yang dipertahankan akhirnya dibalas dengan tamparan kesengsaraan.
MEDLEY KU PENDAM SEBUAH DUKA, MENCARI MIMPI, & KITA INSAN BIASASelesai sahaja lagu Bebaskan, Ning mengambil peluang untuk berkongsi cerita tentang artis-artis 80an yang dahulunya menjadi sumber insirasinya. Sekadar menyebut beberapa baris penyanyi sanjungannya, Ning merasa begitu bertuah kerana Malaysia dapat melahirkan ramai penyanyi yang berwibawa ketika zaman 80an.
Sudah tentu ketika zaman itu, Ning baru sahaja meningkat remaja. Antara yang penyanyi yang sempat disebut adalah Ramli Sarip, Khatijah Ibrahim, Jamal Abdillah dan... tidak sempat Ning menghabiskan ayatnya, ada penonton menyampuk dengan menjerit nama Jay Jay. Kepada yang sudah maklum bahawa Ning ada berkolaborasi dengan penyanyi yang tidak makan dek tua ini dalam lagunya Erti Pertemuan. Macam tahu-tahu sahaja Ning akan menjemput Jay Jay nanti. Tetapi sebelum itu Ning membawa rangkaian lagu-lagu 80an dengan cara Ning yang tersendiri.
Medley pertama, KU PENDAM SEBUAH DUKA (KHATIJAH IBRAHIM) cukup membawa saya mengimbau kepada zaman kegemilangan Katty. Penghayatan yang bukan sedikit menginjakkan satu kesan yang cukup luar biasa kerana versatiliti Ning sukar untuk saya ungkap dengan kata-kata. Begitu juga dengan lagu MENCARI MIMPI (AZLINA AZIZ), yang menyentuh rasa dalaman seorang pengembara yang terpesona dengan keindahan dunia. Ning masih lagi kaku di pentas, tidak banyak bergerak. Memberi tumpuan pada vokal barangkali. Tahu-tahu sendiri gaya Ning macamana. Sehinggalah momentum dipecahkan dengan lagu dendangan Jay jay bersama Dayangku Intan di dalam lagu penuh nostalgia KITA INSAN BIASA.
Jay Jay muncul di pentas ketika gilirannya diiringi tepukan gemuruh dari penonton. Pakaiannya agak kasual dengan mengenakan topi, baju hitam dan macam biasa mesti lengkap dengan kaca mata hitam juga. Selesai lagu itu, sepasang penyanyi ini berbual seketika. Celotehnya memang spontan dan bikin gelak tawa habis. Ning, kalau tak gelak masa berceloteh memang tak sah. Mesti kena ada trademark ketawa ngilainya yang memang bukan buat-buat. Jay Jay pula mengaku yang dia cukup berdebar-debar kerana ramai penyokong Ning yang hadir. Padahal, tidaklah sampai penuh dewan Angkasapuri! Ning pun mengusik yang dia juga nervous tetapi nasih baik ada bunga di dadanya, jadi kononnya tidaklah nampak sangat nervousnya.

ERTI PERTEMUANSatu lagi lagu yang cukup bermutu sentuhan daripada Aidit Alfian dan Loloq. Amat menyentuh perasaan kerana melodinya cukup melekat. Intronya seperti irama tradisional disatukan dengan irama temporari kerana ada gesekan biola, pukulan gendang dan petikan piano.
Namun, momentum iramanya digandakan dalam gaya pop balada dengan gubahan yang cukup halus dan tersusun. Korusnya menagih nada suara tinggi penyanyinya yang sekata bertindan. Suara Ning dan Jay Jay terpisah dan berkesan walaupun kedengarannya serentak. Tambahan pula, dengan gabungan suara macho Jay Jay lagu ini mempunyai kehebatan tersendiri.
Selepas komersial break, Ning muncul dengan set pakaian yang lain pula. Baju ranggi ketat berbelang-belang merah, putih dan hitam di kawasan lengan. Ning mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu mengembalikan kerjayanya antaranya RTM, Warner Music, wartawan dan juga peminatnya. Sehingga kini, kita tidak lagi sangsi dengan bakat Ning. Bak kata Ning, selagi masih ada cinta, selagi itu ada Ning.
SELAGI ADA CINTASebuah lagu yang dipetik dari album Ning sebelum ini pernah ke AJL18 tahun lepas. Lagu yang menjulang segala aura Ning kembali bergema di ruang angkasa selepas lama Ning hidup dalam dunia low profilenya. Sekaligus memberi impak pada pengaruh Ning yang sebelum ini tenggelam.
Tamat lagu ini, Ning berceloteh lagi dengan membawa peminat semua mengingati tragedi tsunami yang melanda separuh dunia asia. Katanya, sekali air bah sekali pasir berubah. Perumpamaan pada hati manusia yang boleh berubah mengikut masa dan keadaan. Namun, sebetulnya memang pantai akan berubah mengikut gerakan air bah atau ombak. Begitu juga dengan kita manusia yang lemah yang hanya terdaya menerima segala dugaan ini sebagai satu hikmah.
Ning mengajak penonton menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa ombak besar itu. Semoga mereka diberikan semangat bagi meneruskan sisa-sisa hidup. Membina hidup baru... walaupun sukar dan memakan masa berabad lamanya tetapi dengan kerjasama antara insan prihatin segalanya bukan sukar untuk direalisasikan. Kita yang menghirup udara yang sama dengan mereka wajib menitipkan kudrat tenaga atau bantuan material dan moral untuk mengembalikan nafas mereka yang tersentak. Usah sekali berhenti berharap pada Yang Esa. Jadi sesuai dengan itu, Breath Again dialunkan.
BREATH AGAINSatu-satunya lagu Inggeris yang dimuatkan dalam album Erti Pertemuan. Berentak balada yang diiringi gitar pada intronya. Kembali bernafas mencapai maksud di mana hidup ini kadangkala diserang ombak getir dan dugaan yang membuatkan kita putus asa untuk hidup. Sikap perlu mencuba lagi dan lagi sehingga berjaya mencapai impian. Kegagalan sekadar satu loncatan untuk bangkit semula. Bukan bermakna kita akan gagal selamanya kerana ianya mengajar kita untuk lebih menyintai dan menghargai kehidupan yang tidak ternilai ini.
Kemudian, Ning membelek dan menyorot kembali diari kisah hidupnya yang lebih 10 tahun terpisah dengan bapanya. Kini, perpisahan berakhir sudah dan Ning bahagia dipertemukan kembali dengan cahaya baru. Cahaya sinar dan restu dari ayahnya sendiri.
MEDLEY PENJARA KASIH, DUGAANKU DAN PASTIKali ini rangkaian lagu berentak balada dibawa dengan iringan petikan piano dari pemuzik kegemaran Ning iaitu Aylwin Santiago. Sejurus terdengar intro Penjara Kasih, jeritan spontan dari penonton mula memecah hening. Saya tahu mengapa mereka menjerit kerana lagu-lagu lama seperti Penjara kasih dan Dugaanku itu antara lagu permintaan utama dari peminat. Walaupun agak lama tidak mendengar lagu ini, namun ternyata ianya masih segar dalam fikiran. Nostalgia musim-musim pengajian datang menjengah minda saya kerana ada cerita di dalam setiap lagu Ning ini.
KEPULANGAN YANG TERINDAHSelepas lagu Awan Yang Terpilu, saya cepat jatuh cinta dengan lagu hasil tangan Arab ini. Entah mengapa mendengar intronya sahaja saya terharu dan sayu. Susunan lagu ini amat kuat walaupun irama sebegini adalah akar umbi Ning dahulu. Tidak disangkal vokal terbaik dari Ning tercurah pada lagu ini. Dengar sahaja part korusnya
Namun setelah kuredha...Suratan takdir darinya...Kasih yang pergi menjelma semula... membuat saya meremang bulu roma. Saya suka Ning menyebut perkataan REDHA dalam sebutan Arab. Teringat pula dengan sebutan kak Pah dalam sebuah lagunya. Tak ingat dah apa tajuknya.
DIKAUSebenarnya, saya suka tengok gaya penarinya yang cukup lincah. Penarinya mengenakan pakaian pelbagai gaya. Warna pun tidak sekata dan seragam. Orang kata, secara random dan rawak! Lagi pun gaya Ning cukup spontan membawa lagu ini. Leweh! Bukan apa, irama lagu ini sekadar biasa di telinga saya. Tidak apa yang istimewa kerana irama rancak sebegini pernah menghiasi album Ning terdahulu. Mungkin terdapat revamp pada muziknya yang lebih kepada disco-tekno. Itu sahaja.
AWAN YANG TERPILUBagi saya, susunan muzik oleh Aubrey Suwito pada lagu ini adalah yang terbaik dalam album ke-9 ini. Pertama kali mendengarnya memang tidak terasa getar melankolik yang ingin disampaikan oleh penulisnya iaitu Loloq. Cuba dengar berulang kali. Pasti terbit rasa itu memukau jiwa.
Liriknya juga indah kerana menggunakan bahasa alam iaitu awan, pohon, camar, sayap, gelora, rintik dan hujan. Dipersembahkan begitu puitis dan punya maksud yang begitu dalam. Sesuai dengan suara soprano Ning yang beralun sayu. Saya menjangkakan dengan kekuatan melodi serta senikata yang puitis sehebat ini, tidak sangsi saya katakan yang lagu ini bakal diangkat menjadi JUARA LAGU 2005 nanti.
Liriknya cukup punya erti tersirat. Satu metafora pada kehidupan seorang insan yang sering dilanda kesengsaraan, penderitaan yang menyakitkan kerana diabaikan oleh ibu bapa. Penggunaan 'awan' semacam menjadi tema perlambangan kepada sebuah kehidupan yang gelap. Ketandusan kasih sayang dari orang yang kita sayang kekadang mengundang titik kepiluan berpanjangan hingga ke dewasa. Namun, ianya bukan menanam dendam dan menjadi kudis yang membengkak. Malah, sayang pada mereka tidak lengkang dari hati.
Ketandusan kasih sayang remaja kini mungkin mengajar manusia untuk mencari kasih yang mungkin boleh mengheret dan menjerat kepada kesesatan. Atau mungkin juga boleh membawa sinar kebahagian. Maksud saya di sini, sekiranya seseorang remaja terabai, mungkin dia akan menjadi liar dan terlibat dengan gejala sosial. Atau mungkin juga dia akan buktikan kepada orang tuanya yang dia akan berjaya pada suatu hari nanti.
Kasih sayang serta pelukan manja yang didambakan ketika kecil membawa impak yang besar ketika menjelang dewasa. Sejarah mengajar manusia supaya menghargai kasih sayang serta memberi dan menerimanya dengan seadanya. Secangkir kasih yang didamba akan dipandang begitu bernilai tak terbanding dengan harta dan wang ringgit. Mana mungkin boleh dibeli atau digadai. Semua aspek yang saya ceritakan ini diterjemahkan dengan begitu berkesan oleh video klip AYT. Anda boleh saksikan sendiri video klip untuk lagu ini di website Ning. Cukup menyentuh hati saya sehingga air mata tidak dapat dibendung kerana lagu ini sebenarnya menceritakan kisah hidup saya yang 'kehilangan' semua itu!
Persembahan Ning untuk lagu tambatannya ini penuh dengan gaya karismanya. Yang menarik, dua buah kipas besar digunakan sebagai menambah kesan khas sebagai angin yang dapat mengerbangkan rambut serta baju Ning. Saya juga suka tengok masa Ning mendepakan tangannya ketika korus. Nada rendah hingga ke nada tinggi memang menjadi. Menekan dan memerah vokal sepenuh perasaan. Semacam Ning juga mempunyai sayap untuk terbang!
KESELURUHANUntuk lagu terakhir, Ning dilihat lincah menari. Keseluruhan persembahan saya dapat simpulkan HEBAT+BERJIWA=ADA KELAS!. Namun, Ning seharusnya tidak terlalu terkongkong dengan berdiri di tengah pentas sahaja. Saya kira kalau Ning datang dan bersalam-salaman dengan penonton akan menceriakan lagi keadaan. Barulah betul rancangan ini dinamakan zoom-in! Betul tak?
Kredit foto:
http://www.ning.com.my.