INTRO: TAHNIAH BUAT KAK SHIDASebelum saya memulakan acara tilik menilik siapa yang bakal menang, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Puan Shida dari warga promosi Radio Era yang selamat melahirkan seorang cahaya mata. Katanya anak perempuan, betul ke? Semoga dikurniakan rezeki yang lebih merimpah ruah dan sentiasa sihat sejahtera hendaknya.
Anugerah Era cuma tinggal 4 hari lagi (ketika artikel ini ditulis). Saya sudah memilih
baju dari Koleksi KEY NG berwarna hijau lumut muda bercorak etnik untuk ke Stadium Putra Sabtu ini. Seluar pula saya rasa saya mahukan sempoi sahaja dengan
jeans biru dari TOPMAN. Ada teman tidak suka saya memakai jeans kerana tidak sesuai dengan konsep Urban Batik. Saya rasa sesuai sebab saya bukan jenis yang suka bergaya. Sempoi tetapi kemas pilihan utama saya.
Tatkala ini, promosi bukan main lagi meletop sana sini. Kalau acara malam gemilang AE Sabtu nanti tidak meletop dan meriah saya rasa ianya akan menjadi indah khabar dari rupa. Khabarnya, ada countdown juga ditayangkan di astro ria dengan hos Jimmy Shanley Yezzah...dan Hani Bunny Wacchaaaa!!! bagus juga. Sekurangnya ada juga penyeri kehangatan AE kali ini.

Set pentas dan prop yang direka oleh pereka produksi Astro iaitu Rafidah juga nampak memenuhi citarasa tema Urban Batik. Saya menjangkakan pentas yang mempunyai nilai ketimuran akan bergabung dengan teknologi pementasan yang canggih sebagai satu kejutan buat penonton. Katanya ada sistem hidrolik akan digunakan. Apakah itu hidrolik?
ARTIS HARAPAN PILIHAN1. Adi Fashla
2. Dia Fadilla
3. Haizi Rani
4. Khai
5. Vince
Saya tidak melihat Dia Fadilla dan Haizi akan menyentuh anugerah untuk kategori ini. Ini lebih satu pertaruhan untuk melihat sejauh mana bintang AF1 masih bertapak. Terkilan kerana Azizi tidak dicalonkan. Digantikan dengan Adi Fashla yang cuma mengharapkan lagu Aku, kau dan Dia. Pertaruhan sengit antara Vince dan Khai. Kelompok peminat antara kedua bintang ini sukar diduga. Saya merasakan populariti Khai akan dapat menolong beliau untuk merangkul anugerah ini.
Pilihan Malique: KhaiVOKAL WANITA PILIHAN1. Dayang Nurfaizah
2. Liza Hanim
3. Misha Omar
4. Siti Nurhaliza
5. Ziana Zain
Kesemuanya adalah ikon-ikon besar tanahair. Mereka punya bisa tersendiri dalam menggoda peminat untuk memangkah nama. Namun, melihat sahaja nama Siti Nurhaliza, saya menjangkakan beliau akan menang. Ketiadaan nama Ning Baizura (pemenang AE03) yang meragut dari kejuaraaan Siti yang bertahan (AE01 dan AE02) memberikan laluan yang senang.
Saya difahamkan bahawa Siti Nurhaliza tidak akan hadir di malam Anugerah Era. Saya sedih, terkilan dan tertanya-tanya mengapa beliau tidak akan hadir. Saya menolak andaian yang zaman kejatuhan gadis sunti dari Kuala Lipis ini bermula sekiranya beliau kalah. Biarkan gossip dan dilemma Siti cair dan terus hanyut jauh ke muara. Bingit juga setelah mengetahui siapa dalang disebalik e-mail layang itu.
Kalau tidak rezeki Siti Nurhaliza, mungkin kali ini ianya milik Misha Omar. Berdasarkan kepada perkembangan lagu Pulangkan dan Debunga Cinta (terbaru) sentiasa dalam pilihan pendengar Era, tidak ragu-ragu beliau boleh dikejutkan dengan keputusan.
Pilihan Malique:Siti NurhalizaVOKAL LELAKI PILIHAN1. Anuar Zain
2. Nassier Wahab
3. Vince
4. Yusry
5. Zamani
Saya membuat ramalan berdasarkan sekerap mana lagu seseorang penyanyi itu disantap di corong radio No 1 Malaysia ini. Anuar Zain tidak terkecuali dalam senarai kerana lagu beliau terus dimainkan. Sesudah lagu Keabadian Cinta, lagu separuh acapella 'Semuanya Untukmu' kini giat aktif dalam senarai pilihan Era. Agak bias kerana adik Ziana Zain ini tidak menghasilkan album terbaru. Namun keupayaan vokal yang teruja dan mantap tidak hairan Anuar Zain akan mengekalkan kejuaraan musim AE03 lalu.
Pilihan Malique: Anuar ZainVOKAL DUO/BERKUMPULAN1. Achik & Siti Nordiana
2. KRU
3. Nora & Vince
4. Mirwana
5. Ruffedge & VE
6. Too Phat & Yassin
Achik & Siti Nordiana, Mirwana dan KRU kita tinggalkan kebelakang kerana berdasarkan populariti mereka di Era kini tenggelam timbul. Naikkan nama besar yang lain. Nora dan Vince satu gabungan yang memukau dengan mutu vokal yang jitu. Too Phat & Yassin juga satu gabungan kontroversi antara rap dan irama etnik. Mesej yang berseni kepada kerohanian dalam kerancakan rap yang menjadi. Namun apakah keduanya bakal ditewaskan dengan populariti dua kumpulan R&B yang sudah terkenal dengan Tipah Tertipu dan Goyang ini. Satu ketakjuban kerana gabungan ini punya klise tersendiri.
Pilihan Malique: Ruffedge & VEBAND PILIHAN1. Exists
2. Jinbara
3. Sheila on 7
4. Spider
5. OAG
Sukar juga untuk menjangkakan siapa yang bakal menang. Tidak mungkin pemenang tahun lalu kerana nama Existsnya seakan tenggelam. Mungkin juga akan menjadi milik Sheila On 7 yang pernah juga memenangi Vokal Duo berkumpulan pada AE02. Saya menyandarkan harapan untuk Spider kerana muziknya begitu catchy dan ada jiwa unik dan disukai ramai.
Pilihan Malique: SpiderLAGU GLOBAL PILIHAN1. Bergendindangdong (Tan Sri S.M Salim & Siti Nurhaliza)
2. Dua Dalam Bahtera (Waheeda)
3. Entahkan Jadi Entahkan Tidak (Tan Sri S.M Salim & Sheila Majid)
4. Hatinya Tak Tahan (Noraniza idris)
5. Seloka Cak Kun Cak (Tan Sri S.M Salim & M. Nasir)
Tiga lagu ke finalis yang dikutip dari album TAn Sri SM Salim sudah cukup membuktikan penyanyi ini digemari oleh pendengar. Atau mungkin juga orang akan melihat dengan siapa beliau berduet? Tengoklah sendiri nama-nama yang menjadi pasangannya. Bukan calang-calang. Kerana aspek itu juga beliau menang di AE01 untuk lagu Pandang-pandang Jeling-jeling bersama Siti Nurhaliza.
Satu lagu dari Waheeda (Dua Dalam Bahtera) tidak cukup popular berbanding Wassini. Manakala kesilapan yang besar dilakukan ke atas lagu Noraniza Idriis kerana lagu tersebut jarang kita dengar atau tidak popular langsung. Susah ya kerana ini adalah pilihan pengundi dan pendengar sendiri. Telinga lain-lain dan aqal citarasa juga lain.
Pilihan Malique: Bergendindangdong (Tan Sri S.M Salim & Siti Nurhaliza)LAGU NASYID PILIHAN1. Allahu (Raihan)
2. Bisikan Nurani (In-Team)
3. Demi Cinta Suci (UNIC)
4. Epik (Rabbani)
5. Hikmah Kembara (Mirwana)
Rabbani (AE01)dan Unic(AE02) pernah menang dalam anugerah ini. Mungkin kali ini milik kumpulan In Team pula kerana lagu tersebut sering ke udara ketika sampainya waktu solat. Raihan juga menjadi saingan terdekat dengan kelunakan dan perubahan pada irama nasyid bervariasi. Lagu Allahu tersebut merupakan gabungan Maleyu dan bahasa Urdu.
Sejauhmana ia dapat menarik peminat untuk mengundi? Dua glongan yang menjadi aspek penting pemilihan. Golongan pertama, mereka biasanya memilih kepada lagu yang lebih mesra pada pendengaran. Manakala golongan kedua, mereka terlalu taksub dengan kumpulan itu sendiri. Tidak kira apa jenis lagu yang dinyanyikan asalkan mereka meminati kumpulan tersebut. Ternyata golongan kedua tersesat dan terpesong kerana kita memilih lagu terbaik bukan kepada kumpulan terbaik!
Pilihan Malique: Bisikan Nurani (In-Team)ARTIS INGGERIS TEMPATAN PILIHAN1. OAG
2. Reshmonu
3. Ruffedge
4. Too Phat
5. VE
Seperti bertemu buku dengan ruas, semua nama yang terbukti unggul bertemu di pentas yang sama. Pemenang AIM2004, Reshmonu mungkin akan disingkirkan dengan Too Phat yang 3 kali berturut-turut merajai takhta kategori ini. Sukar untuk digugat kerana lagu Alhamdulilah menjadi siulan pendengar era. Kemunculan VE dan Ruffedge sebagai pencabar utama Too Phat dilihat sebagai percubaan yang sihat untuk menyemarakkan muzik R&B dan rap.
Pilihan Malique: Too PhatLAGU ROCK PILIHAN1. Melompat Lebih Tinggi (Sheila on 7)
2. Mencari (Giegiel & Waheeda)
3. Pria Terhebat (Sheila on 7)
4. Relaku Pujuk (Spider)
5. Sudah-sudahlah (Jinbara)
Pilihan utama pendengar mungkin untuk kedua-dua lagu Sheila On 7. Ciri-ciri yang rock aslli ada pada lagu tersebut. Disamping mempunyai kredibiliti dan kemahsyuran di Malaysia, kumpulan dari Indonesia ini bakal turut terpilih sebagai tetamu jemputan malam tersebut. Pesaing utama ialah Relaku Pujuk yang kini tengah panas di Era.
Pilihan Malique: Melompat Lebih Tinggi (Sheila on 7)LAGU POP PILIHAN1. Bukan (Ziana Zain)
2. Dialah di Hati (Siti Nurhaliza)
3. Jangan Kau Mimpi (Sarah)
4. Ku Teruskan (Liza Hanim)
5. Paling Comel (Achik & Siti Nordiana)
6. Pulangkan (Misha Omar)
Dalam 6 pilihan kita boleh ketepikan Ku teruskan, Jangan Kau Mimpi dan Paling Comel. Jangan tanya sebab kerana ini pendapat saya. Jangan ketepikan Ziana Zain kerana beliau ini mengejutkan saya ketika memenangi untuk kategori yang sama untuk lagu Lembah Asmara pada AE03. Jadi, jangan kejutkan saya untuk AE04 pula dengan kemenangan Ziana Zain untuk lagu Bukan.
Pilihan Malique: Dialah di Hati (Siti Nurhaliza)PILIHAN KAKI WAYANG ERA1. Buli
2. Gila-Gila Pengantin Remaja
3. Jutawan Fakir
4. Kuliah Cinta
5. Pontianak Harum Sundal Malam
Kemenangan besar filem arahan Shuhaimi Baba ini di Pesta Filem Fantasi dan Seram di Estepona, Sepanyol (memenangi 3 anugerah termasuk pengarah terbaik, Sinematografi Terbaik dan Sususan Muzik Terbaik) pastinya menjadi bonus untuk mengangkat filem ini menyingkirkan filem lain yang rasanya macam hampas. Maaf kerana berkata begitu. Penggiat filem di Malaysia tidak mempunyai inisiatif untuk berkarya dengan kualiti. Mereka mementingkan kuantiti. Banyak filem dihasilkan namun semuanya tidak berkualiti.
Pilihan Malique: Pontianak Harum Sundal MalamMUZIK VIDEO PILIHAN1. Dialah di Hati (Siti Nurhaliza)
2. Hatinya Tak Tahan (Noraniza idris)
3. Ku Teruskan (Liza Hanim)
4. Pulangkan (Misha Omar)
5. Seksis (Anita Sarawak)

Tiga tahun berturut Siti Nurhaliza berjaya menggondol anugerah dalam kategori ini. Mutu videonya memang pernah dikatakan kuno, kolot, hampeh dan sebagainya. Namun lihat sahaja pengiktirafan yang diberikan. Kali ini adakah Dialah Di Hati menjadi pilihan pendengar? Atau mereka juga sama dengan mereka memilih nama daripada mengadilinya dengan melihat sendiri video muzik tersebut.
Saingan utama ialah Seksis (Anita Sarawak) yang menjadi sandaran buat KRU. Lagu ini pernah diban oleh RTM. Namun, bagi saya iramanya ceria dan mendengarnya rasa macam nak menari. Teruja juga setelah mendengar kos pembikinannya yang agak tinggi. Kalau menang, akan memecah rekod kategori ini.
Pilihan Malique: Dialah di Hati (Siti Nurhaliza)
ANUGERAH CARTA ERA
Senang untuk menjangkakan siapa yang menang. Ini kerana anugerah ini diukur berdasarkan kepada tempoh lagu tersebut bertahan dalam carta. Saya sebenarnya tidak tahu siapa yang akan menggondol anugerah ini.
Pilihan Malique: Ntah?
PENUTUP
Semoga AE04 mencatat sesuatu yang menarik. Kejutan perlu dibuat sebagai tanda hadiah untuk pendengar. Anugerah ini untuk pendengar. Maka hadiahkan sesuatu yang boleh diabadikan sebagai satu tanda ingatan buat kami.
Seperti anugerah lain, Anugerah Era ini ditunggu oleh peminat seni tanahar. Saya tidak sabar untuk melihat penampilan penyampai-penyampainya, tema batiknya, gaya pentas serta sorot cahayanya, kostum atau pakaian selebriti dan gelagat mereka. Paling dinantikan kelainan persembahan oleh artis-artis terlibat.
Apa apa keputusan terimalah dengan hati yang terbuka. Sedia diingatkan saya cuma ingin bersuara melalui tulisan saya. Pendapat orang lain juga perlu saya terima juga. Saya sekadar menurut kata hati sahaja. Maknanya semua ramalan tidak bererti ianya tepat sasarannya. Malah mungkin akan terpesong jauh dari landasan!!!