![]()
Pejam celik-pejam celik Anugerah Era datang lagi membuka jendela kemasyhurannya. Memasuki tahun ke-4 ini, AE muncul dengan tema yang agak ketimuran, Urban Batik. Apakah itu Urban batik? Urban: tempatan atau bandar. Batik: sejenis fabrik, tekstil dan material yang dicat dan dicorak dengan tangan (kini sudah ada mesin untuk mencoraknya).
Bagi Malique, ini satu tema yang sesuai dengan zaman semasa kerana ia menarik lebih ramai daripada golongan muda untuk lebih memandang kepada jati dan akar umbi budaya fesyen tempatan. Pastinya, fesyen batik yang terkenal dengan keunikan yang tersendiri akan menambat selebriti dan artis jemputan untuk mencanang pencipta fesyen bagi menggayakannya di malam AE nanti. Bagaimana bentuk dan rupanya, kita tengoklah nanti.

Kalau tahun lepas temanya agak meriah dengan fesyen disco 80-an. Agak kebaratan dan tiada nilai ketimuran. Perubahan ini adalah satu percubaan yang bagus dari Era.fm yang ingin mengembalikan seni batik Malaysia ke skop yang lebih luas. Sekaligus, mengajak penggiat, peminat dan penyokong seni untuk menyatakan kepada mereka yang kita mempunyai nilai ketimuran yang tinggi dengan seni batik yang semakin dilupakan.
Kita tinggalkan seketika tentang tema AE. Kerana bagi saya tema tidak berapa penting. Tema sekadar menimbulkan seri dan kelainan kepada konsep keseluruhan AE. Perkara paling penting adalah kewujudan AE itu sendiri. Pemilihan pemenang anugerah dibuat oleh pendengar sendiri dengan melawati laman rasmi era.fm, mengisi borang di suratkhabar atau bersua dengan skuad perodua Era atau juga kini dengan cara moden iaitu dengan menghantar sms. (Sepatutnya penghantar sms yang terbanyak dan tepat perlu dihadiahkan dengan wang tunai atau hadiah.)
Dahulu ketika mula timbulnya AE, sesetengah mengatakan bahawa AE sengaja diadakan untuk radio No 1 Malaysia itu bermegah-megah atau dalam kata lain mereka gila glamour! Apa tidak glamournya, Era.fm adalah radio yang pertama di Malaysia yang mengadakan anugerah berprestij untuk penyanyi dan penghibur. Tak ke kembang hidung diorang?
Orang senang mengatakan begitu dan begini. Katalah apa sahaja kerana hakikat kini kesemua personaliti Era.fm sudah terkenal setara dengan artis lain. Siapa tidak kenal dengan Halim Othman yang 2 kali menggondol Penyampai Radio Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular (2001 dan 2003). Siapa yang tidak kenal dengan Linda yang juga telah memegang takhta 3 tahun berturut-turut sebagai Penyampai Radio Wanita Popular di anugerah yang sama. Siapa yang tidak kenal dengan Khairil Rashid (Nama betul: Khairil Azwan Mohd Rashid,33) yang kini menubuhkan kumpulan Kafi bersama bekas rakan sekontinya, Faizal Ismail (kini bertugas sebagai penulis iklan di era).

Dan siapa yang tidak kenal dengan Pengurus Program Era, Seelan Paul yang terkenal dengan suara mesranya.
Tidak cukup dengan itu, Nana- bintang AF1 (penyampai kegemaran saya) diserap untuk memberikan satu nafas baru yang lebih segar. Rombakan telah dilakukan pada awal tahun ini. Selain Nana (...yang senang mengingati nama peminatnya... Thanks Nana sebab masih ingat nama saya masa jumpa kat astro hari tu!), ada beberapa muka baru seperti Fara Fauzana, Kiran, Rostam dan Nila Kurnia telah mengisi gegendang pendengar setia era.
Tahun ini saya merasakan satu kehambaran kerana lokasinya ditukar. Dahulu kita merasa kesejukan bayu Arena of Stars, Genting menyucuk tulang. Kini merasa bahang Stadium Putra yang selalunya kita hadiri. Tiada lagi kenangan manis mendaki dan melalui likuan jalan ke Genting terukir.
Rasa tiada prestij dan keseronokkan pula kerana biasanya saya boleh menginap di Hotel First World pada malam AE. Kini tidak lagi semua itu kerana bagi warga era.fm, keutamaan diberikan kepada semua pendengarnya untuk merasai gegaran majlis gilang gemilang itu. Kalau boleh, semua pendengar ingin diangkut masuk ke Stadium Putra. Biar ia menjadi satu sejarah kerana kali ini AE diadakan dilokasi yang paling besar berbanding tahun yang sudah. Syabas laa diucapkan buat Pengurus Besar nya ya!
INFO MENARIK AE04:-
1. Kategori Lagu Global Pilihan diperkenalkan sebagai ganti kategori Lagu Etnik Pilihan. Namun matlamatnya sama iaitu untuk memberi pengiktirafan bagi penggiat muzik etnik tempatan.
2. Anugerah Seni Era diperkenalkan sebagai ganti Anugerah Emas dan Anugerah Panggung Era. Nama sahaja ditukar tapi bendanya sama jugak. Yang bakal menang mungkin pelakon, mungkin penyanyi dan mungkin juga pelawak!
3. Kategori Pilihan Kaki Wayang Era adalah untuk menyokong industri filem tanahair yang berkembang maju. Selain itu, ianya memperkenalkan lagi slot seliaan Linda Onn yang menyorot sinopsis ringkas untuk penggemar filem.
4. Dua Showcase atau Pra AE semestinya tidak lekang menjadi acara sampingan untuk memantapkan promosi. Kali ini Berjaya Times Square menjadi pilihan. Saya tidak fikir tempat itu sesuai kerana lokasi tahun lepas (Dataran Merdeka) yang lebih luas itu menjadi padat. Inikan pula sesempit Berjaya Times Square. Showcase yang kedua diadakan diluar Stadium Nasional Bukit Jalil jam 4 petang sebelum AE membuka tirainya.
5. Pada hari yang sama juga, bakal berlangsungnya perlawanan akhirl Piala FA (Terengganu vs Perak) di Stadium Nasional. Jadi saya ingatkan kepada anda supaya datang awal untuk mengelakkan kesesakan. Yang penting, jaga diri, hiasi peribadi. OKKE?
6. Setiap pemenang anugerah bakal membawa pulang satu trofi (cd bertingkat silver) dan wang tunai RM 5,000. Lumayan?
7. Selain itu, acara red karpet tu memang dah kira wajib. Kononnya nak kasi sama glamuor dengan Grammy Award!
8. Penyampai anugerah pada malam itu antaranya: Yasmin Hani, Apek, Yasin, Bienda, Tiara Jacquelina, Sheila Rusly, Zamani, Ezlynn, Maria Farida, Jehan Miskin, Sazzy, Phyne Ballerz, Maya Karin and Aziz M. Osman.
9. Persembahan pula akan disemarakkan dengan XPDC, Rabbani, VE, Vince, Ning Baizura, Khai, Juliza Adlizan, Misha Omar, Spider, Raihan, Tan Sri S.M. Salim, Glenn, Flop Poppy, M. Nasir, Anuar Zain, Waheeda, Sarah Raisuddin dan yang paling penting graduan dan bintang AF2 termasuk Zahid.
Dengan jumlah pendengar menjangkau 6.1 juta, Anugerah Era seharusnya lebih matang dan mempunyai pengisian yang lebih berguna untuk penggunanya. Bukan sekadar membuat promosi dan peraduan yang besar-besaran sahaja!!!
Kredit Foto:-
http://www.era.fm
p/s: Nantikan Ramalan AE04: Part 2.... tidak lama lagi.
****************
KUIZ TIKET ANUGERAH ERA-MALIQUE BLOGGER
Menangi jemputan ke Anugerah Era 04 pada 25 September ini dan satu hadiah misteri setiap satu dengan menjawab soalan berikut:-
1. Sejauh mana Anugerah Era dapat menjana indusri hiburan tanahair (tidak lebih dari 30 patah perkataan).
Sertakan bersama:
1. Nama penuh
2. Alamat
3. Yahoo / MSN Mesengger (ID)
4. No Telefon
Sila hantarkan jawapan anda kepada : malikin02@catcha.com sebelum 21 September 2004 (Selasa).